AMANAH menegaskan sistem pensijilan halal Malaysia harus kekal berdaulat dan tidak akan terjejas oleh Perjanjian Dagang Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai baru-baru ini.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu kekal menjadi badan berautoriti tunggal sebagai penentu kepada segala produk makanan dan pertanian yang memasuki Malaysia daripada AS.
Katanya, Malaysia hanya bersetuju untuk memperkemas prosedur import makanan dan pertanian (), bukan bermakna melonggarkan standard halal yang sedia ada.
Menurut Mujahid, Amanah berpandangan bahawa isu halal perlu dilihat melalui lensa Siyasah Syar‘iyyah politik pentadbiran berasaskan hikmah dan maslahat.
“Dalam konteks ini, pemerintah wajib memastikan kemaslahatan ekonomi rakyat dapat dicapai tanpa menjejaskan prinsip syarak atau melonggarkan keperluan halal demi memenuhi perjanjian. Standard halal Malaysia perlu kekal unggul dan yang terbaik di dunia.
“Kerajaan MADANI perlu memastikan bahawa setiap sijil halal asing yang ingin diiktiraf mesti melalui proses audit JAKIM dan kekal di bawah senarai Foreign Halal Certification Bodies rasmi,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, Malaysia juga harus mengekalkan dasar Halal Sovereignty iaitu kawalan penuh terhadap label halal, sumber bahan mentah, dan rantaian bekalan makanan yang masuk ke negara ini.
Katanya, Amanah mengalu-alukan langkah kerajaan menubuhkan Majlis Pematuhan Halal Nasional yang akan melibatkan JAKIM, MITI, dan KPDN untuk menilai sebarang isu teknikal berkaitan produk import dari Amerika.
Menurut Mujahid, inisiatif itu bukan sahaja menjaga kepercayaan umat Islam, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai Hab Halal Global Dunia Islam.
“Amanah juga menggesa kerajaan melalui perjanjian ini supaya meningkatkan lagi keupayaan dan kapasiti industri halal melalui pendigitilan lebih agresif seperti pemerkasaan Halal Digital Chain (HDC 2.0) bagi tujuan kebolehcarian punca berasaskan blockchain.
“Keperluan ini adalah untuk menyaingi perundangan ketelusan makanan Amerika yang telah diamalkan.
“Apa yang dikhuatiri ialah banjiran produk pemakanan yang hendak masuk ke negara ini tidak sepadan dengan kapasiti tenaga kerja dan melambatkan proses, justeru keperluan teknologi terkini melalui AI, IoT dan penyimpanan data yang efektif dapat membantu mengurangkan bebanan kerja manual,” tambahnya lagi.
Mujahid menambah, Amanah mencadangkan akta keselamatan label halal secara khusus di bawah pengawasan JAKIM digubal pada kadar segera supaya standard halal tidak dimanipulasikan, khususnya jika barangan import dari AS mula membanjiri pasaran negara.
Menurut Mujahid, setakat ini, keselamatan penggunaan label halal hanyalah dikuatkuasakan melalui akta perihal dagangan di bawah KPDNKK.
“Akhirnya, Amanah menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam meluaskan hubungan ekonomi antarabangsa tetapi mengingatkan pada waktu yang sama supaya sentiasa memelihara kemaslahatan nasional khususnya kedaulatan halal dan maruah negara,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

