Mayat dalam Proton Gen 2: 3 penganggur didakwa culik lelaki

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

TIGA penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Cheras pada September tahun lalu.

Ketiga-tiga mereka, Mohammad Izzul Haikal Zainodin, 35; Zairen Idzwan Mohd Haslin, 33; Hoenizam Hamzah, 41 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama didapati menculik atau melarikan seorang lelaki yang berusia 26 tahun ketika kejadian dengan niat hendak mendatangkan cedera parah, di parkir kereta Blok E PPR Kampung Muhibbah, Off Jalan Puchong, dekat Cheras Kuala Lumpur sekitar jam 7.30 malam pada 3 September 2023.

Justeru, pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abdul Latip tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesemua tertuduh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sepang.

Sementara itu, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam tidak melakukan sebarang rayuan untuk jaminan.

Hakim Siti Shakirah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan selain menetapkan 23 September depan bagi sebutan semula kes.

Pada 7 September tahun lalu, mayat seorang lelaki disyaki dibunuh dilaporkan ditemui di dalam sebuah kereta di Batu 14 Puchong.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, mangsa seorang penganggur ditemui mati dalam sebuah kereta Proton Gen2 sekitar jam 12.50 tengah malam berhampiran sebuah stesen minyak.

Siasatan awal yang dijalankan mendapati motif kejadian dipercayai dendam akibat mangsa melarikan barang milik suspek utama.

Bedah siasat ke atas mangsa di Hospital Serdang, mendapati dia mengalami kecederaan patah rahang dan tulang rusuk serta retak pada bahagian tengkorak.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Landskap politik berubah jika Onn Hafiz bawa BN menang PRN Johor – Hassan Karim

LANDSKAP politik negara disifatkan bakal berubah sekiranya Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya membawa Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya...

More Articles Like This