HIMPUNAN Keadilan Suara Rakyat Suara Keramat ‘Dari Reformasi ke Malaysia MADANI’ didakwa bukan sahaja tidak mendapat sambutan, malah bakal ditolak rakyat.
Perkara itu dinyatakan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seperti dilaporkan Sinar Harian Online.
Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang berkata, himpunan tersebut tidak akan mendapat sambutan kerana reformasi ketika ini hanyalah perjuangan palsu semata-mata.
Malah, kata beliau, reformasi yang sering dilaungkan telah melanggar prinsip dan perjuangan sebenar yang dibawakan sebelum ini.
“Malam esok (malam ini) konon-kononnya ada himpunan di Stadium Axiata sempena 20 September ini, tarikh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) ditangkap.
“Saya difahamkan kakitangan kerajaan akan dikerah untuk memenuhi stadium. Mengapa mereka (kakitangan) perkhidmatan awam (dikerah) untuk mendengar ceramah politik yang sudah mati. Semangat reformasi yang sudah mati.
“Jangan heret anggota kerajaan untuk mendukung satu perjuangan palsu yang telah mengkhianati mandat rakyat. Reformasi sudah mati, sudah jadi reformati,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin mendakwa, beliau dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pejuang serta reformis tulen, bukannya Anwar dan individu yang kini berada dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Baca artikel lain: Himpunan Suara Rakyat: Platform luahkan idea pembangunan negara kepada PM
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa, beliau adalah individu pertama yang ditahan pada 16 September sebelum Anwar ditangkap.
“Di situlah tercetusnya reformasi. Kalau nak bicara soal reformasi saya yang sepatutnya dijemput untuk berucap pada malam esok (mereka) yang lain lari.
“Ramai pemimpin yang hari ini, kepung Anwar kini duduk dalam jemaah menteri tapi masa itu mereka lari ke luar negara, pergi ke Indonesia, Australia dan United Kingdom, saya boleh senaraikan nama mereka satu persatu,” katanya.
Himpunan Keadilan Suara Rakyat, Suara Keramat ‘Dari Reformasi ke Malaysia MADANI’ akan mengimbau segala perih jerih yang dilalui oleh Anwar bersama keluarga dan penyokongnya sebelum diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, menerusi himpunan itu juga ia akan membawa suara-suara pemegang taruh yang sebelum ini berjaya menghidupkan gerakan reformasi berkenaan sehinggalah mewujudkan ruang kerjasama antara parti bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
Tarikh 20 September itu dipilih bagi memperingati detik bermula gerakan reformasi tahun 1998 yang bertempat di Dataran Merdeka.
Pada ketika itu, ia berjaya menghimpunkan seluruh rakyat dari segenap pelusuk negara sehingga tertubuhnya sebuah parti politik baharu, Parti Keadilan Nasional yang selepas itu dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Untuk rekod, dari sisi pejuang reformis tarikh 20 September adalah detik hitam apabila pada malam itu Anwar ditahan di kediamannya di Bukit Damansara dan dipukul di lokap polis, yang menjadi pencetus gelombang kebangkitan rakyat menuju Pilihan Raya Umum 1999.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

