KHAZANAH Nasional Berhad dan syarikat strategik berkaitan kerajaan lain diharap dapat terus memainkan peranan penting dalam menyokong agenda bumiputera melalui pelaburan dalam syarikat-syarikat tempatan.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Mohd Azamanizam Baharon berkata, pelaburan Khazanah dan syarikat strategik lain terutama dalam sektor berkaitan ekonomi digital serta inovasi mampu memperkasa syarikat bumiputera.
Pada masa sama, kata beliau, ia juga meningkatkan daya saing dan mendorong pertumbuhan ekonomi negara.
Mohd Azamanizam berkata, walaupun terdapat beberapa cabaran dalam pelaburan berisiko tinggi seperti dilihat pada isu melibatkan FashionValet, namun pendekatan jangka panjang dan komitmen kepada agenda bumiputera dilihat penting.
“Sebagai dana kekayaan negara, Khazanah juga mengarahkan pelaburannya kepada sektor yang boleh memberi impak positif kepada pembangunan sosioekonomi seperti menyediakan akses kepada peluang pekerjaan dan kemahiran baharu bagi masyarakat bumiputera.
“Dengan memberi sokongan yang berterusan, Khazanah dan entiti strategik diharap dapat membantu syarikat bumiputera mencapai skala lebih besar dan meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Belanjawan 2025: PERDASAMA harap kek ekonomi peniaga Bumiputera diperbesar
Mengulas lanjut, Mohd Azamanizam berkata, inisiatif seperti Dana Pembangunan Bumiputera oleh Khazanah, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Ekuinas, TERAJU dan lain-lain membantu memastikan syarikat bumiputera berpotensi mendapat sokongan kewangan dan strategik.
“Selain itu, sokongan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dana yang berorientasikan pembangunan seperti PNB juga penting untuk memperkukuh daya tahan syarikat-syarikat ini dalam menghadapi cabaran ekonomi termasuk perubahan teknologi dan globalisasi,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet.
Dalam hantaran di platform X, Anwar yang juga Pengerusi Khazanah berkata, arahan tegas itu sebagai memaknai pengumumannya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Katanya, ia bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik selain memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

