TUN Dr Mahathir Mohamad mendedahkan Kabinet mengetahui cadangan menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.
Bekas Perdana Menteri itu turut mendedahkan mereka yang ada di dalam Kabinet masih berkhidmat untuk kerajaan semasa antaranya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Malah, katanya, jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu digalas oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mana beliau dakwa tidak pernah bersuara untuk membantah cadangan berkenaan.
“Objektif utama RCI adalah untuk menyatakan saya sudah membuat keputusan yang salah tanpa berunding dengan Kabinet. Itu tidak benar, saya berunding dengan Kabinet begitu juga pakar sebelum membuat keputusan.
“Mereka semua adalah menteri dan kebiasaannya menteri bersuara, saya sudah menjadi Perdana Menteri dua kali, saya pernah berdepan cadangan saya ditolak oleh Kabinet.
“Mereka ini (anggota Kabinet) ada kesempatan untuk memeriksa cadangan saya namun mereka tidak berbuat begitu, oleh itu keputusan dibuat oleh Kabinet bukan oleh saya seorang diri.
“Keputusan sebenarnya dibuat oleh Kabinet, kesemua proses sudah dijalankan. Jika saya dipanggil sebagai pengkhianat jadi timbalan saya juga adalah pengkhianat,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.
Baca artikel lain: Bayi dipercayai lemas dalam selimut, tiada unsur jenayah ditemukan
Sebelum ini, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.
Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ.
Laporan akhir yang dinyahklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.
Suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
Dr Mahathir menambah, keputusan untuk menarik balik permohonan tidak dibuat secara sambil lewa sebaliknya dilakukan secara teliti dan berhati-hati dengan mendapatkan pandangan pakar.
Beliau juga menegaskan tidak pernah ‘bekerja’ untuk Singapura malah semua pihak faham dan mengetahui bagaimana pendiriannya terhadap negara jiran tersebut sepanjang memegang tampuk pentadbiran negara.
“Keputusan untuk menarik balik permohonan keputusan ICJ dibuat atas nasihat pakar. Ada beberapa pakar memberi pandangan mereka… mereka ini pakar dalam bidang perundangan antarabangsa.
“Mereka menyatakan ada potensi merugikan kepentingan Malaysia jika kami terus mempersoalkan keputusan ICJ. ICJ mungkin menterbalikkan keputusan mereka dan kita kehilangan Batuan Tengah,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

