Kajian UKM dapati kacip fatimah mampu lawan osteoporosis, bantu pemulihan tulang

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

HASIL kajian oleh Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati Marantodes pumilum atau lebih dikenali sebagai kacip fatimah, berpotensi untuk melawan osteoporosis dan membantu pemulihan tulang.

Menurut Prof Dr Norazlina Mohamed yang mengetuai kajian tersebut, herba itu mengandungi fitoestrogen, iaitu sebatian yang berfungsi menyerupai estrogen dalam tubuh yang dipercayai dapat membantu melindungi tulang daripada kerosakan akibat kekurangan hormon.

Jelas beliau, kajian yang dijalankan melibatkan eksperimen menggunakan model tikus yang dibuang ovari (kekurangan estrogen) dan model tikus patah tulang.

“Kami telah menguji kesan ekstrak daun dan akar kacip fatimah pada tikus yang kekurangan estrogen serta tikus yang patah tulang. Hasil kajian menunjukkan bahawa ekstrak daun kacip fatimah pada dos 20 mg/kg memberikan perlindungan tulang yang lebih baik berbanding dengan ekstrak akar.

“Ekstrak daun kacip fatimah juga terbukti mempercepatkan penyembuhan patah tulang dengan meningkatkan ekspresi gen yang berkaitan dengan penyembuhan tulang. Kesan ini adalah setara dengan terapi hormon estrogen yang biasa digunakan untuk merawat osteoporosis,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Norazlina berkata, ekstrak daun kacip fatimah juga dapat meningkatkan kekuatan tulang dan mengurangkan kerosakan tulang yang biasa berlaku akibat kekurangan estrogen.

Beliau berkata, penemuan itu memberikan harapan baru dalam rawatan osteoporosis dan masalah tulang patah dengan penggunaan terapi herba semulajadi sebagai rawatan alternatif atau rawatan tambahan, terutamanya bagi wanita selepas menopaus yang mengalami penurunan estrogen.

Untuk rekod, Osteoporosis adalah gangguan tulang yang dicirikan oleh pengurangan kepadatan jisim tulang, yang meningkatkan risiko patah tulang, terutamanya pada tulang pinggul, tulang belakang, dan pergelangan tangan.

Osteoporosis lebih kerap berlaku pada wanita selepas menopaus yang disebabkan oleh penurunan tahap estrogen, iaitu hormon yang berperanan penting dalam pengaturan pembentukan semula tulang.

Kekurangan estrogen ini menyebabkan tulang menjadi lebih rapuh dan mudah patah. Jika tidak dirawat, osteoporosis boleh menyebabkan pelbagai komplikasi serius seperti patah tulang, penurunan kualiti hidup, dan peningkatan risiko kematian.

Dalam pada itu, Norazlina berkata, kajian itu juga menyokong penggunaan herba tradisional sebagai salah satu pilihan rawatan selain daripada terapi konvensional sedia ada.

Beliau berkata, kajian itu turut memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai mekanisme tindakan kacip fatimah dalam meningkatkan kesihatan tulang.

Walaubagaimanapun, Norazlina menegaskan, kajian lanjut dalam bentuk ujian klinikal ke atas manusia perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanannya dalam rawatan osteoporosis dan pemulihan patah tulang walaupun kajian ini memberikan keputusan yang sangat positif.

“Dengan penemuan ini, kacip fatimah berpotensi untuk dimajukan sebagai rawatan alternatif dalam terapi osteoporosis dan pemulihan patah tulang.

“Namun, kajian lanjut perlu dijalankan untuk mengesahkan dos yang sesuai serta cara pengambilan yang terbaik bagi mencapai kesan terapeutik yang optimum untuk manfaat kesihatan tulang manusia,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

UMNO-BN Negeri Sembilan sedia letak calon di semua 36 kerusi DUN

UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bersedia untuk meletakkan calon di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan...

More Articles Like This