PAS bersedia untuk mengemukakan nama calon bagi menggantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) yang baharu.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, parti itu belum lagi mengemukakan cadangan nama untuk jawatan Bendahari Agung PN itu.
Kata beliau, Pas masih menunggu untuk mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan.
“Belum (kemuka nama calon). Kita (PAS) menanti mesyuarat Majlis Tertinggi PN,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Ditanya sama ada Pas sudah mempunyai calon berkenaan atau sebaliknya, Tuan Ibrahim berkata: “Calon tak ada masalah.”
Bulan lalu, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas telah meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung PN.
Peletakan jawatan itu telah disampaikan menerusi kenyataan ringkas kepada pimpinan tertinggi Pas Pusat.
Dalam kenyataan berkenaan, Ahmad Samsuri memaklumkan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada pimpinan PN.
Baca artikel lain: Ahmad Samsuri letak jawatan Bendahari Agung PN
Namun begitu, sehingga hari ini, Menteri Besar Terengganu itu tidak memberikan faktor yang menyebabkan beliau melepaskan jawatan tersebut.
Peletakan jawatan itu dilihat sebagai sesuatu yang mengejutkan memandangkan beliau dilihat sebagai pemimpin berprofil tinggi dalam Pas dan PN.
Ia hadir hanya dua hari selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang mengesahkan pelantikan enam jawatan penting iaitu Setiausaha Agung, Ketua Wanita, Ketua Penerangan serta ahli majlis tertinggi.
Kesemua pelantikan baharu itu menyaksikan jawatan berkenaan diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung PN.
Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula dipilih sebagai Ketua Wanita PN manakala Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula dilantik Ketua Penerangan PN.
Bersatu turut menamakan tiga pemimpin untuk menganggotai Majlis Tertinggi PN selaras dengan keputusan pemilihan parti itu.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dinamakan sebagai Timbalan Pengerusi PN manakala Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai anggota Majlis Tertinggi PN.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

