Malaysia akan sediakan bantuan pendidikan, kesihatan di Baitulmaqdis – PM

Dari Penulis

MALAYSIA akan menyediakan bantuan khusus bagi sektor pendidikan dan kesihatan di Baitulmaqdis, Palestin selain pemulihan di Gaza, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan menerusi instrumen wakaf akan dilaksanakan selaras permohonan Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri yang mahu negara ini membantu kemajuan di Baitulmaqdis.

“Sheikh Dr Ekrima meminta agar kita turut membantu kemajuan di Baitulmaqdis, termasuk membaiki suasana di masjid atau madrasah-madrasah di sekitarnya.

“Saya telah berbincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, untuk memastikan selain daripada bantuan khusus bagi pemulihan Gaza, kita juga akan menyediakan bantuan wakaf untuk Universiti Al-Quds, madrasah, sekolah serta hospital di Baitulmaqdis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI bersama Imam Masjid Al-Aqsa di Masjid Putra, Putrajaya hari ini.

Anwar menegaskan bahawa bantuan di Baitulmaqdis adalah sangat penting untuk meringankan beban rakyat Palestin.

“Saya berharap dengan usaha ini, kita dapat tingkatkan usaha dan meringankan beban mereka. Di Baitulmaqdis, sudah terdapat sebuah universiti yang namanya Al-Quds, tetapi (operasinya) bergantung kepada bantuan umat.

“Saya telah minta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, bersama universiti tempatan dan sekolah untuk menjalinkan hubungan dan memperkukuh kegiatan universiti tersebut,” katanya.

Baca artikel lain: Mesir dukung laksana program pembangunan insan pelajar Malaysia – PM

Sementara itu, beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk meneruskan agenda membantu rakyat Palestin di Gaza dan Baitulmaqdis, serta mempamerkan nilai ihsan dan kemanusiaan yang tinggi.

“Sheikh Dr Ekrima turut hargai (Malaysia) sebagai satu daripada negara yang terkehadapan dalam perjuangkan hak rakyat Palestin, baik di Gaza mahupun di Baitulmaqdis,” katanya.

Anwar berkata kedatangan Sheikh Dr Ekrima ke Malaysia adalah satu penghormatan besar bagi negara memandangkan beliau seorang alim masyhur.

“Beliau juga yang merupakan benteng pertahanan sebagai Imam dan Katib Masjid Al-Aqsa di bumi bertuah Baitulmaqdis, Palestin,” katanya.

Terdahulu, Anwar menyertai ribuan jemaah menunaikan solat Maghrib dan Isyak yang diimamkan oleh Sheikh Dr Ekrima yang kini sedang dalam rangka lawatan ke Malaysia hingga 27 Februari ini.

Sebelum ini, Anwar berkata Malaysia akan menggerakkan usaha untuk membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin.

Perdana Menteri berkata usaha itu akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama daripada semua pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan swasta serta seluruh rakyat.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Tiga lelaki warga asing ditahan kes curi dan dadah

TIGA lelaki warga asing ditahan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan Strike Team Balai Polis Tawau selepas dipercayai terbabit...

More Articles Like This