Amalan campur beras berlaku sejak 1970, penuhi cita rasa tempatan – Mohamad Sabu

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

AMALAN pencampuran beras putih tempatan (BPT) dengan beras putih import (BPI) dalam kampit BPI telah berlaku sejak tahun 1970-an lagi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut Mohamad, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berdasarkan kajian yang dilakukan merumuskan, tujuan pencampuran itu adalah bagi memenuhi cita rasa pengguna tempatan selain untuk menghasilkan variasi jenama di pasaran.

Katanya, amalan pencampuran beras itu berlaku selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan terdahulu dan bukannya baru berlaku ketika pemerintahan kerajaan sekarang.

“MyCC telah menjalankan kajian ke atas industri padi dan beras pada sejak awal 2024. Hasil kajian tersebut telah dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 Tahun 2024 pada 17 Disember lalu.

“Susulan Mesyuarat JKKMN tersebut dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember lalu, KPKM telah diarahkan supaya memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran BPT dan BPI melalui perundangan serta merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif sebelum dikemukakan bagi pertimbangan Jemaah Menteri.

“Untuk makluman, mekanisme bagi mengawal percampuran turut mendapat sokongan MyCC sebagai kaedah penyelesaian masalah bekalan beras,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar), yang mahu tahu ke mana perginya beras tempatan untuk rakyat sedangkan keluasan sawah negara adalah lebih 644,854 hektar dan mengeluarkan lebih daripada 2.4 juta tan metrik padi semusim.

Langkah kerajaan pastikan keseimbangan dalam industri

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kerajaan menerusi KPKM telah mengambil langkah untuk memastikan keseimbangan dalam industri seperti menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik yang telah berkuat kuasa 16 Februari tahun ini.

Katanya, penyelarasan itu dilaksanakan dengan mengambil kira kenaikan kos pengeluaran padi merangkumi kos upah dan kos input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain serta impak kepada kos pengeluaran beras dan seterusnya memberi kesan kepada bekalan dan harga beras di pasaran; dan

Selain itu, katanya, kerajaan juga mengekalkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran BPT sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan mulai 1 Mac 2025 hingga 31 Ogos 2025 bagi memastikan keberadaan bekalan sebanyak 24 juta kampit BPT 10 kilogram secara berperingkat di pasaran.

Jelas beliau, langkah itu adalah untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah mendapat bekalan beras pada harga berpatutan dan seterusnya membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.

Sebelum ini, keberadaan BPT mula hangat diperkatakan selepas Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menyelaraskan harga pintu gudang BPI daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik pada 1 September 2023.

Menurut Mohamad, penyelarasan itu perlu dibuat kerana harga beras putih dunia telah meningkat dengan mendadak ekoran Kerajaan India mengenakan sekatan ke atas eksport beras putih.

Sebagai rekod, India menguasai 40 peratus pasaran beras putih dunia dan sekiranya penyelarasan itu tidak dibuat, BERNAS akan mengalami kerugian besar dan berisiko menjejaskan 10 obligasinya ke atas sektor padi dan beras negara.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

UMNO-BN Negeri Sembilan sedia letak calon di semua 36 kerusi DUN

UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bersedia untuk meletakkan calon di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan...

More Articles Like This