KERAJAAN tiada perancangan untuk menetapkan ujian air kencing sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) untuk menganjurkan sesebuah konsert di negara ini.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, kerajaan akan meneliti keperluan dan kesesuaian sebarang cadangan serta perubahan terhadap SOP dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, ia berdasarkan perbincangan dengan semua agensi serta semua pemegang taruh yang terlibat.
Ketika ini, Fahmi menjelaskan, Garis Panduan Unit Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) telah disediakan sebagai rujukan kepada penganjur persembahan.
“Garis Panduan PUSPAL itu melibatkan aspek-aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan dalam penganjuran suatu persembahan melibatkan artis luar negara.
“Antaranya ialah penganjur hendaklah mengambil apa-apa langkah yang perlu sebelum, semasa dan selepas persembahan bagi memastikan tiada aktiviti berkaitan rokok, minuman keras dan dadah di lokasi persembahan sepanjang tempoh persembahan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Baca artikel lain: Ujian air kencing pengunjung konsert tak praktikal
Beliau berkata demikian menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai perancangan kementerian untuk melaksanakan cadangan ujian air kencing sebagai sebahagian daripada SOP untuk pengunjung konsert bagi membendung pengambilan dadah.
Mengenai keanggotaan Jawatankuasa PUSPAL, Fahmi berkata ia terdiri 16 kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Peranan PDRM dalam Jawatankuasa PUSPAL adalah untuk memberi pandangan dan nasihat dalam hal-hal berkaitan keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Selangor akan mengesyorkan supaya ujian saringan air kencing dijadikan antara SOP terhadap pengunjung dalam usaha mengelak sebarang pembabitan dan pengambilan dadah ketika penganjuran konsert di negeri itu.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut menyifatkan cadangan supaya ujian saringan air kencing dijadikan antara SOP terhadap pengunjung konsert untuk mengelak berlaku kes dadah, sebagai tidak praktikal kerana proses mengumpul serta menganalisis sampel urin mengambil masa yang lama.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

