TRIO penyampai 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin direhatkan daripada ke udara berkuat kuasa serta-merta.
Ia susulan dakwaan penyampai tersebut mempersenda upacara agama lain dalam sebuah video yang dimuat naik ke akaun media sosial stesen radio berkenaan, pagi tadi.
Astro Audio dalam kenyataan memaklumkan, trio penyampai 3 Pagi Era itu direhatkan sehingga diberitahu kelak sementara siasatan dalaman dijalankan ke atas insiden tersebut.
Astro Audio turut melahirkan kekesalan atas insiden berkenaan yang telah dikongsi di platform media sosial Era FM.
“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kerana telah menyakiti hati dan mengecewakan hati pihak terlibat.
“Para penyampai yang terlibat telah mengakui kesilapan mereka dan telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.
“Sebagai sebuah syarikat penyiaran bertanggungjawab, kami memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Astro Audio memaklumkan turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan.
Pada masa sama, syarikat itu juga komited terhadap kepercayaan para pendengar serta memastikan persekitaran media dihormati dan menyeluruh.
“Kami sedang mengambil langkah memperkukuh proses semakan kandungan bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan audiens kami.
“Kami amat menghargai maklum balas daripada para pendengar dan pemegang taruh serta akan terus mendengar, belajar dan memperbaiki diri,” katanya.
Terdahulu, MCMC telah diarahkan untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas sebuah stesen radio milik Astro yang didakwa mempersenda upacara agama lain.
Ia susulan video yang dimuat naik ke akaun media sosial stesen radio tersebut, pagi tadi.
Baca artikel lain: Tindakan stesen radio persenda agama lain bertentangan prinsip Rukun Negara
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengarahkan MCMC untuk memanggil pihak Astro dan pengurusan stesen radio tersebut.
Portal media Free Malaysia Today (FMT) hari ini melaporkan penyampai radio 3 Pagi Era memohon maaf di atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.
Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana ia penghinaan kepada tradisi Hindu.
Dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani memohon maaf atas video berkenaan dan mengakui ia tidak sensitif, terutama kepada bangsa India.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

