TINDAKAN sebuah stesen radio milik Astro yang didakwa mempersenda agama lain jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi asas negara ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menasihatkan semua pihak supaya sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama dan budaya yang ada di Malaysia.
Pada masa sama, beliau dengan tegas turut mengutuk segala bentuk kelakuan yang mempersenda atau menghina mana-mana agama termasuk dilakukan penyampai stesen radio tersebut.
“Sebagai sebuah negara yang majmuk, kita harus memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.
“Sebarang perbuatan yang menyinggung perasaan agama lain tidak sepatutnya diterima dalam masyarakat kita yang berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Aaron turut menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak mengikut peruntukan yang ada di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Tegas beliau, ia bagi memastikan sebarang penyebaran kandungan yang mempersenda atau menghina agama di media massa dikenakan tindakan yang sewajarnya.
“Akhir sekali, saya mengingatkan supaya semua pihak untuk tidak mencetuskan ketegangan atau perasaan benci antara penganut agama.
“Setiap tindakan yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara harus dipandang serius,” katanya.
Baca artikel lain: MCMC diarah siasat stesen radio milik Astro persenda agama lain
Terdahulu, MCMC telah diarahkan untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas sebuah stesen radio milik Astro yang didakwa mempersenda upacara agama lain.
Ia susulan video yang dimuat naik ke akaun media sosial stesen radio tersebut, pagi tadi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengarahkan MCMC untuk memanggil pihak Astro dan pengurusan stesen radio tersebut.
Portal media Free Malaysia Today (FMT) hari ini melaporkan penyampai radio 3 Pagi Era memohon maaf di atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.
Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana ia penghinaan kepada tradisi Hindu.
Dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani memohon maaf atas video berkenaan dan mengakui ia tidak sensitif, terutama kepada bangsa India.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

