SUMBANGAN industri jualan langsung kepada ekonomi negara yang direkodkan pada penghujung 2024 telah mencatatkan nilai berjumlah RM34.4 bilion, peningkatan 7.4 peratus berbanding RM32.04 bilion rekod sebelumnya.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Dr Fuziah Salleh berkata, kesungguhan industri jualan langsung Malaysia berjaya mengekalkan pencapaian di kedudukan ke-enam dunia dan ke-empat Asia Pasifik dari 2020 hingga 2024.
Pencapaian itu jelas beliau berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh World Federation of Direct Selling Associations (WFDSA).
“Malaysia juga telah diiktiraf sebagai negara yang mencatatkan penembusan pasaran tertinggi (pertama) di peringkat global dengan jumlah peratusan 2.28 peratus.
“Pengiktirafan ini berjaya mengangkat industri jualan langsung Malaysia ke tahap yang setara dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jerman, China, dan Jepun,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, beliau telah menyampaikan Lesen Jualan Langsung kepada 45 syarikat iaitu 18 syarikat lesen baharu dan 27 syarikat lesen pembaharuan.
Katanya, KPDN berperanan dan bertanggungjawab mengawal selia industri jualan langsung melalui Akta Jualan Langsung dan Skim Anti- Piramid 1993 (Akta 500).
Menurut Fuziah, seiring dengan perkembangan industri jualan langsung di Malaysia dan global, KPDN sedang meminda Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (Akta 500) secara komprehensif.
“Penambahbaikan dalam akta ini adalah bagi menyesuaikan industri dengan perubahan dinamik pasaran pada masa ini. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan ekosistem industri jualan langsung yang lebih menyeluruh, mapan, holistik dan menggalakkan amalan perniagaan yang beretika.
“Ini merupakan sebuah manifestasi dan komitmen KPDN dalam usaha membangun dan mengembangkan industri jualan langsung di negara.
“Ia sejajar dengan aspirasi Kerajaan melalui konsep Malaysia MADANI untuk memperkukuh kemakmuran negara agar ia dapat dikongsi secara adil, saksama dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Fuziah menambah, KPDN komited untuk memastikan bahawa semua syarikat jualan langsung mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh undang- undang dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Katanya, melalui pemberian lesen jualan langsung itu, KPDN berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, kejujuran, dan memastikan hak pengguna sentiasa dilindungi.
“KPDN akan meneruskan agenda untuk merancakkan pembangunan industri jualan langsung melalui usaha mendaya upaya perkhidmatan dan produk ke arah pewujudan ekosistem perniagaan yang kondusif serta dinamik.
“Kerajaan kekal optimis bahawa industri jualan langsung akan cemerlang dan berkembang secara holistik di samping mampu mewujudkan peluang perniagaan, menjana pendapatan masyarakat, serta memberi impak positif melalui sumbangan kepada pembangunan dan pertumbuhan sosioekonomi negara,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

