Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan pekeliling dalam masa terdekat bagi membenarkan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) mengeluarkan preskripsi ubat-ubatan asas untuk rawatan penyakit ringan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia sebahagian daripada usaha KKM bagi mengiktiraf peranan Penolong Pegawai Perubatan dan dilihat cukup mustahak bagi memberikan perlindungan perundangan kepada mereka.
“Saya lihat perkara ini sangat mustahak, misalnya PPP yang bekerja di kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak, mereka (ada yang bekerja) tanpa doktor.
“Pada masa sama, tugas untuk menyelamatkan nyawa dan penduduk luar bandar bergantung kepada mereka (PPP), terutama bagi klinik komuniti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan 2025 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, hari ini.
Dzulkefly berkata pengeluaran preskripsi ini bagaimanapun hanya boleh dibuat Penolong Pegawai Perubatan yang mempunyai skop tugasan untuk merawat pesakit, melibatkan kategori ubat-ubatan tertentu seperti demam, batuk, kahak dan cirit-birit.
Baca artikel lain: KKM tak cadang perluas laksana pemanjangan waktu operasi klinik kesihatan
Beliau berkata, pembaharuan ini juga dilaksanakan di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah Kesihatan dan tidak memerlukan pindaan terhadap Akta Racun 1952.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata setakat ini tarikh bagi pelaksanaannya sedang diperhalusi dan akan diputuskan sebelum pekeliling dikeluarkan.
Dalam perkembangan lain, mengenai dakwaan hospital swasta mengenakan caj lebih tinggi kepada pesakit yang mempunyai insurans, Dzulkefly berkata perkara itu sedang disemak pihaknya secara terperinci, berasaskan data dan bukti.
Mengenai arahan paparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta, beliau berkata selepas sesi libat urus dengan pengamal perubatan am swasta (GP), kerajaan telah menyatakan kesediaan untuk menangguhkan pelaksanaannya sehingga 1 Mei ini.
“Saya telah beri komitmen untuk semak semula caj perundingan bagi GP, kerana ia sudah lama tidak dikaji semula. Hanya adil untuk saya memperjuangkan perkara ini demi mereka, dan dengan itu, mereka juga bersedia untuk akhirnya memaparkan harga dalam proses libat urus,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

