‘Nak jadi hero jalanan, belajar dulu’, PM tempelak Muhyiddin, sifatkan ruang perbincangan peruntukan pembangkang sentiasa terbuka

Dari Penulis

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ruang untuk perbincangan antara kerajaan dan pembangkang mengenai isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sentiasa terbuka.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata sebarang isu berbangkit turut boleh diutarakan menerusi mesyuarat, dan draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang juga boleh dipinda jika perlu.

“Saya dahulu hadir lima mesyuarat semasa jadi pembangkang. Mesyuaratlah dahulu, draf boleh dipinda. Ini hendak bising di luar sebab apa? Nak jadi hero jalanan, belajar dulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Hasil ke-29 di Menara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya, hari ini.

Anwar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, yang mendakwa parti itu mempunyai sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Muhyiddin mendakwa syarat yang ditetapkan dalam MoU berkenaan adalah luar biasa dan ketat seolah-olah terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan.

Baca artikel lain: PM sampaikan sumbangan kepada pesakit angin ahmar di Kuantan

Pada 22 Februari lepas, Anwar turut mengulangi nasihatnya kepada Ahli Parlimen pembangkang supaya berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung peruntukan itu.

Anwar berkata perbincangan sedemikian bukanlah perkara baharu, malah beliau sendiri semasa Pakatan Harapan menjadi pembangkang, pernah berbincang dengan Perdana Menteri Kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Anwar berkata pembangkang sengaja memainkan isu berkenaan untuk menarik perhatian umum, sehingga ada yang mengatakan mereka mengalami beban kewangan dan perlu berhutang, sedangkan pendapatan dan elaun setiap Ahli Parlimen menjangkau sehingga RM40,000 sebulan.

“Tahu berapa gaji Ahli Parlimen, elaun mesyuarat apa semua? RM30,000 hingga 40,000. Jadi bukanlah tiada wang sama sekali,” katanya.

Beliau berkata peruntukan untuk setiap kawasan Parlimen, termasuk yang dikuasai oleh pembangkang, tetap disalurkan kepada rakyat tanpa mengira parti politik.

“Contohnya katalah kalau satu kawasan Parlimen, (umpamanya) Tambun katalah dengan pembangkang. Projek jalan, cuma projek itu jalan terus kepada rakyat atau melalui cadangan Ahli Parlimen. Itu bezanya. Jadi untuk menyatakan rakyat terbeban itu tidak benar,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pas hentikan kerjasama politik dengan Bersatu – Hadi Awang

MESYUARAT Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menetapkan parti itu menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu. Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi...

More Articles Like This