LAGU Anta Permana yang dinyanyikan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terpilih menjadi salah satu senarai peribadi Raja Britain, Raja Charles III.
Lagu berkenaan berada dalam senarai lagu kegemaran baginda sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel yang turut dikongsikan secara eksklusif dalam media sosial The Royal Family.
Ia merupakan sebahagian daripada program The King’s Music Room di Apple Music sebagai simbol meraikan kepelbagaian muzik seluruh dunia.
Lebih membanggakan negara apabila Siti Nurhaliza,46, tersenarai bersama beberapa nama selebriti terkenal dunia, antaranya Diva Pop, Diana Ross, Bob Marley yang popular menerusi muzik reggae, legenda muzik Grace Jones serta sensasi Britain yang sedang meningkat naik, Raye.
Selain itu, Beyonce, Kylie Minogue, Michael Buble dan banyak lagi yang berjumlah 17 lagu dengan durasi satu jam 10 minit.
“Saya mahu berkongsi dengan anda lagu-lagu yang membawa kebahagiaan dalam hidup saya. Lagu-lagu ini merangkumi pelbagai gaya dan budaya berbeza.
“Namun, seperti keluarga negara-negara Komanwel yang makmur, mereka, dalam cara yang tersendiri, berkongsi kecintaan sama terhadap kehidupan, dalam segala keindahan dan keharmonian beragama,” titah Raja Charles III.
Untuk info, Anta Permana merupakan lagu ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini yang dilancarkan pada 2018.
Selain itu, senarai lagu pilihan Raja Charles III menggambarkan selera muzik baginda yang luas merangkumi pelbagai era dan genre antaranya afrobeats, reggae serta pop kontemporari.
Rakaman The King’s Music Room yang berlangsung di Istana Buckingham itu memaparkan perjalanan muzik membentuk pengalaman serta memori peribadi baginda.
Tidak hanya itu, penghormatan tersebut juga jelas membanggakan peminat muzik tanah air yang tidak menyangka lagu Melayu mendapat tempat dalam pilihan peribadi Raja Britain.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

