PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyantuni warga Kementerian Pertahanan sempena Program Ihya’ Ramadan 2025 di Pangkalan Udara Subang, Subang.
Pada program itu, Anwar menunaikan Solat Jumaat bersama lebih 700 jemaah dalam kalangan warga Kementerian Pertahanan di Masjid Al-Muhajirin dan mendengar khutbah bertajuk “al-Quran Kitab Penuh Mukjizat” yang disampaikan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai.
Perdana Menteri kemudian mengedarkan bubur lambuk kepada warga Kementerian Pertahanan di masjid berkenaan.
Program Ihya’ Ramadan 2025 dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) serta Jabatan Perdana Menteri sebagai wadah mendekati warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Baca artikel lain: Perdana Menteri hadir Program Ihya’ Ramadan di MOSTI
Terdahulu, Perdana Menteri yang tiba pada 11.55 pagi menghadiri taklimat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pertananan di Bilik Mesyuarat Mes Wira Angkasa yang turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.
Turut menyertai taklimat tersebut ialah Panglima Angkatan Tentera Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar; Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.
Taklimat itu antara lain membincangkan perkara berhubung pemantapan tata kelola, inisiatif reformasi dan pencapaian kementerian.
Usai taklimat itu, Anwar turut meluangkan masa bertemu dengan enam juruterbang pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam formasi lintas terbang udara semasa Sambutan Hari Kebangsaan ke-67.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

