KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) meraikan kira-kira 300 pengamal media dalam majlis berbuka puasa di Hotel Royale Chulan, semalam.
Majlis yang dikelolakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi Unit Komunikasi Strategik MINDEF itu sebagai penghargaan buat pengamal media tempatan yang telah memberikan sumbangan dan sokongan kepada MINDEF.
Pada masa sama, majlis tersebut juga bagi merapatkan hubungan yang telah terjalin antara MINDEF dengan pengamal media yang telah membantu dalam usaha menyampaikan maklumat mengenai kementerian itu kepada masyarakat.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis itu menyifatkan media mempunyai peranan yang sangat penting dalam konteks pertahanan negara.
Menurut beliau, pengamal media memainkan tanggungjawab signifikan bukan sahaja dalam menyampaikan dan menyebarluaskan maklumat, tetapi juga memberi berita-berita yang tepat dan benar.
“Media sentiasa memberi kefahaman kepada rakyat tentang peranan, tugas dan tanggungjawab pasukan keselamatan serta cabaran-cabaran yang mereka hadapi terutama dalam soal untuk memastikan negara selamat dan terpelihara.
“Ini termasuk usaha memastikan ekosistem negara kita terkawal dan terpelihara yang menjadi syarat penting mewujudkan negara yang selamat, stabil dan aman,” katanya.
Pada majlis yang sama, Mohamed Khaled turut meluncurkan dua program di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) iaitu Inisiatif Program JanaVeteran dan pra-peluncuran aplikasi ‘PERWIRA Super App’.
Inisiatif JanaVeteran yang melibatkan kerjasama Boustead Plantations Berhad (BPlant) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) merupakan usaha bagi membantu golongan veteran ATM menjana pendapatan stabil dengan menceburi bidang pertanian.
Program tersebut meliputi dua usaha utama iaitu program tanaman halia dan cili fertigasi serta program usahawan tani veteran.
Setakat ini, projek rintis bagi program tanaman halia dan cili fertigasi telah dimulakan di ladang BPlant di Teluk Sengat, Kota Tinggi.

Baca artikel lain: Inisiatif JanaVeteran bantu veteran ATM jana pendapatan stabil – Mohamed Khaled
Buat permulaan, program tanaman halia dan cili fertigasi itu akan dibuka kepada 100 veteran ATM yang akan menguruskan penanaman fertigasi halia dan cili menggunakan teknologi moden.
Menurut Mohamed Khaled, Program tanaman Halia dan Cili Fertigasi di bawah Inisiatif JanaVeteran ini akan menyaksikan BPlant menyediakan plot fertigasi di atas tanah seluas 105 hektar kepada pesara tentera yang terpilih, yang mana 80 hektar adalah bagi penanaman halia dan baki 25 hektar penanaman cili dengan kursus serta latihan disediakan.
“BPlant akan menyediakan 15 plot fertigasi melibatkan 15 peserta di atas tanah seluas 12 hektar yang mana setiap peserta berpotensi menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.
“Veteran ATM yang terlibat disasarkan dapat mengeluarkan 3,500 tan metrik halia setahun dan 350 tan metrik cili setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.
Mohamed Khaled memberitahu, program usawahan tani veteran pula bakal membuka peluang buat veteran ATM menjadi usahawan tanaman kontan.
Katanya, BPlant telah mengenal pasti 300 hektar tanah milik BPlant di Semenanjung Malaysia untuk diusahakan dengan tanaman kontan.
Mohamed Khaled turut menyempurnakan pra-peluncuran aplikasi “Perwira Super App” dibangunkan oleh Perwira Niaga Malaysia (Pernama) Network.
Ia melibatkan kerjasama Mastercard International bagi kegunaan komuniti di bawah Mindef menggabungkan kecerdasan buatan (AI) untuk mempercepat transformasi masyarakat ke arah digital dengan ciri keselamatan canggih, cekap, selamat dan mesra pengguna.
“Aplikasi ini akan memberi manfaat kepada komuniti ketenteraan dalam bidang ekonomi dengan menjanjikan transformasi digital khusus kepada warga pertahanan dan veteran serta semua anak syarikat di bawah seliaan Mindef.
“Antara fungsi yang disediakan melalui aplikasi ini adalah Perkhidmatan Kewangan, E-Marketplace, diskaun eksklusif dan ganjaran kesetiaan, Government Connect Module, mengintegrasikan ciri kesihatan dan kesejahteraan serta hab e-Learning,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

