MALAYSIA bersedia menghulurkan bantuan dan menyokong usaha kemanusiaan mengikut keperluan susulan gempa bumi kuat yang melanda bahagian tengah Myanmar dan utara Thailand, semalam.
Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap kejadian yang mengakibatkan kehilangan nyawa yang tragis serta kemusnahan teruk di Mandalay, Bangkok serta kawasan berhampiran.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Malaysia turut berdiri teguh bersolidariti bersama negara jiran dan negara-negara anggota ASEAN lain.
Beliau turut berharap negara yang terkesan dalam saat duka diberikan ketabahan dan pemulihan segera.
Anwar berkata, Malaysia juga mengambil maklum tentang pengisytiharan darurat yang dikuatkuasakan pihak berkuasa di Myanmar serta penetapan Bangkok sebagai kawasan bencana oleh kerajaan Thailand.
“Laporan mengenai bangunan runtuh, orang awam terperangkap serta jumlah korban yang semakin meningkat adalah amat membimbangkan.
Baca artikel lain: PM agih 28,000 ekor ayam segar di Parlimen Permatang Pauh sempena Aidilfitri
“Kami juga sedang memantau dengan rapi perkembangan di selatan Yunnan, China, di mana gegaran turut dirasai dan kerosakan struktur dilaporkan.
“Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah yang paling mendalam kepada semua yang kehilangan orang tersayang dan mendoakan kesembuhan bagi mereka yang cedera serta perlindungan bagi yang terjejas,” katanya dalam hantaran tersebut.
Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda Myanmar pada kedalaman 10 kilometer dan beberapa minit kemudian, gempa susulan berukuran 6.4 pada Skala Richter melanda kawasan yang sama.
Gegaran kedua-dua gempa turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City.
Di Myanmar, media tempatan melaporkan bahawa keadaan darurat telah diisytihar di wilayah Sagaing, Mandalay, Magway, Bago, Negeri Shan Timur serta ibu kota Naypyidaw dan pada masa sama, pihak berkuasa terus menilai tahap kerosakan.
Di Thailand, laporan menunjukkan bahawa sistem transit utama termasuk MRT, BTS dan Airport Rail Link di Bangkok terpaksa dihentikan susulan gegaran itu.
Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra telah mengisytiharkan darurat di Bangkok dan penilaian kerosakan masih dijalankan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

