
DALAM politik kewujudan dan kekuatan ahli di peringkat akar umbi amat penting kerana ia bukan sahaja menentukan nasib seseorang pemimpin tetapi juga parti itu sendiri.
Jika pengundi atas pagar sering dianggap mampu menjadi penentu untuk memberi kemenangan kepada sesebuah parti dalam pilihan raya, peranan ahli akar umbi pula amat penting dalam memastikan survival politik seseorang pemimpin.
Bagaimanapun beberapa tahun kebelakangan ini khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) suara akar umbi sering sahaja ditenggelamkan, malah paling hebat ada parti yang membuat keputusan bergabung atau bekerjasama atas nama demi kestabilan tanpa sedikitpun bertanya kepada ahli akar umbi.
Malah lebih ‘trajis’ lagi ada parti memutuskan supaya dua jawatan utama dalam parti tidak ditandingi atau ‘kalau boleh’ jangan ditandingi demi memastikan kestabilan politik parti berkenaan. Mudah sekali hak eksklusif ahli ‘dirampas’.
Sepatutnya apa juga keputusan penting yang melibatkan hala tuju parti termasuklah dalam soal pemilihan dalam parti, ia sepatutnya mendapat sokongan atau persetujuan ahli-ahli akar umbi bukannya bergantung kepada elit politik di peringkat bahagian mahupun pusat menentukan.
Ia memandangkan ahli-ahli akar umbi lah yang akan bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat jika sesuatu tindakan kepemimpinan parti mencetuskan kontroversi seperti mana penubuhan Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan dua musuh ketat iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Walaupun ia sudah menjadi sejarah namun di peringkat akar umbi khususnya UMNO, ‘darah yang terluka’ berikutan keputusan itu ‘masih berdarah’ dan belum sembuh terutamanya dalam kalangan ahli dan penyokong mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Jangan lupa anak-anak muda yang celik politik juga menolak politik ‘flip flop’ .
Penulis memperkatakan mengenai peranan ahli akar umbi ini selepas membaca pelbagai analisis keputusan pemilihan PKR peringkat Cabang di seluruh negara yang berakhir semalam.

Pemilihan itu menyaksikan beberapa kekalahan mengejut melibatkan pimpinan utama PKR yang sebelum ini dilihat sebagai tokoh penting parti. Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa kepada pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir Akmal Nasir juga gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Cabang Johor Bahru. Di Selangor pula, Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail turut kecundang dalam saingan di Cabang Ampang. Turut tewas ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol.
Di Tebrau pula, calon ‘underdog’ M Prakash mengejutkan dua Ahli Parlimen iaitu Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran dan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah – dalam persaingan sengit.
Ada dakwaan kebanyakan pemimpin yang kalah ini adalah daripada kem Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli. Tidak dapat dipastikan sejauh manakah dakwaan itu benar tetapi yang pasti Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim secara terbuka menyatakan, ramai pemimpin yang menang dalam pemilihan PKR pada 2022 atas platform kartel ‘Ayuh Malaysia kini tewas.
‘’Itulah rumusan yang saya dapat simpulkan apabila ramai pemimpin-pemimpin yang menang dalam pemilihan PKR 3 tahun lalu (2022) atas platform kartel “Ayuh Malaysia” yang cuba menyisihkan Anwar Ibrahim, kini dalam pemilihan PKR 2025 yang baru berlangsung menemui kekalahan mengejut ramai tokoh-tokoh besar ” Ayuh Malaysia” di tangan calon-calon akar umbi yang tak ada nama, tak ada jawatan Menteri atau Timbalan Menteri atau bukan jawatan Ahli Parlimen atau MP,’’ kata Hassan melalui catatan dalam Facebook beliau.
Sementara kenyataan Hassan itu boleh juga mewujudkan spekulasi mengenai konflik antara dua kelompok dalam PKR iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kem Rafizi namun ia turut membuktikan betapa berkuasanya ahli-ahli akar umbi dalam menentukan nasib seseorang pemimpin.
Apatah lagi kalau ada kalangan pemimpin itu seperti mana kata Hassan…
‘’…yang tiba-tiba menjadi elit yang berkuasa di korridor kuasa di Putrajaya, susah dihubungi, tidak mesra lagi dengan anggota biasa PKR yang gantung poster mereka semasa tokoh-tokoh itu jadi calon pilihanraya umum, tak turun kawasan, tak kenal lagi ahli biasa, panggilan telefon atau sms atau WhatsApp tidak lagi dijawab, malah exist tinggalkan grup WhatsApp ahli ahli biasa PKR yang menyokong mereka selama ini.
‘’Tokoh-tokoh besar ini akhirnya tahu tinggi rendah langit apabila mereka dihukum dalam pemilihan secara demokratis dalam pilihanraya PKR.’’
Soal pertembungan antara kem Anwar dan kem Rafizi bukanlah isu baru malah ia sudah lama diperkatakan tetapi siapa yang akan menang dalam ‘pertembungan’ itu, ia bergantung kepada ahli akar umbi menentukan.
Ahli akar umbi tentukan kem mana mereka mahu sokong pilih dan kem mana pula mereka akan ‘kuburkan’ memandangkan mereka yang menaikkan seseorang pemimpin dan mereka juga bertanggungjawab kukuhkan parti. Tanpa ahli akar umbi seseorang pemimpin itu tidak akan ke mana.
Atas sebab itulah UMNO perlu menjadikan apa yang berlaku dalam PKR bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi sesuatu yang perlu dicontohi. Pemimpin di peringkat atas jangan seronok sendiri membuat keputusan sesuka hati tanpa menghiraukan suara akar umbi.
Ingatlah UMNO tidak sekuat PKR walaupun ada lebih 3 juta ahli di seluruh negara, tidak ada pemimpin UMNO sehebat Anwar yang mampu satukan ‘kawan dan musuh dalam satu kapal’, setelah kekuatan politik UMNO semakin rapuh, kini survival parti itu bergantung kepada akar umbi dan PH. Jangan ingat ahli akar umbi UMNO sekadar ‘pak turut’ atau ‘tukang angguk’ sahaja, mereka pun bijak untuk menilai drama politik orang atasan.
Sama ada UMNO akan terus hidup atau tidak, pemimpinnya akan kekal atau tidak segalanya bergantung kepada ahli akar umbi manakala dari segi meraih kuasa politik UMNO tiada pilihan mereka perlu terus menumpang kekuatan PKR,DAP dan Amanah dalam pilihan raya akan datang.
Mengenai pertembungan dalam PKR pula, berdasarkan keputusan pemilihan di peringkat Cabang itu, mungkin ramai akan mengaitkan patutlah pada 1 Mac lalu Anwar mengamanatkan supaya Rafizi perlu diberi laluan mudah untuk jawatan Timbalan Presiden bagi melaksanakan tugasan serta tanggungjawab yang diberikan.
Sebagai Presiden parti dan pemimpin paling berpengaruh dalam PKR, Anwar pasti mengetahui sejauh mana tahap sokongan ahli-ahli akar umbi terhadap kem Rafizi walaupun Ahli Parlimen Pandan itu menang di Cabang Pandan. Sama-samalah kita tunggu apa pula hasil pemilihan PKR pusat pada 24 Mei, penulis percaya ia lebih mendebarkan!
Kesimpulannya pemilihan PKR membuktikan kesan apabila akar umbi bersuara, terdedahnya pertembungan antara dua kem dan memberi pengajaran jika UMNO mahu mengerti..itulah politik.

