SAKSI Pendakwaan ke-28 hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, bahawa sampel tanah yang diambil dari sekitar lokasi kejadian tidak sepadan dengan lumpur pada sepasang kasut berwarna hitam yang dirampas di unit kediaman Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, dua tahun lepas.
Bekas Pegawai Penyiasat Kanan di Ibu Pejabat Daerah Polis Petaling Jaya, Mohd Hafizee Ismail, 38, memaklumkan demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Raja Zaizul Faridah: Mengikut penyataan saksi, ASP ada menerima sampel tanah daripada pakar forensik dan sampel-sampel itu juga diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis. Ada tak ASP menerima laporan kimia berkaitan sampel ini?
Mohd Hafizee: Ada
Raja Zaizul Faridah: Apa hasil laporan kimia ini?
Mohd Hafizee: Hasil analisis adalah negatif dan sumber tanah berasal daripada sumber yang berbeza.
Semalam, ketika membacakan kenyataan saksinya, Mohd Hafizee memberitahu mahkamah bahawa dia ada merampas sepasang kasut berwarna hitam yang mempunyai kesan lumpur ketika beliau bersama pasukannya pergi ke rumah Zayn Rayyan bagi melakukan siasatan sekitar jam 11 malam pada 7 Disember 2023.
Katanya, siasatan di rumah Zayn Rayyan dilakukan selepas beliau diberitahu oleh pakar forensik Hospital Sungai Buloh, Dr. Rohayu Shahar Adnan bahawa hasil bedah siasat ke atas jasad arwah terdapat kesan kecederaan berunsurkan jenayah.
“Semasa masuk ke dalam rumah, saya telah terlihat sepasang kasut warna hitam dan terdapat kesan lumpur di sebelah peti ais di dalam bilik pertama di hadapan dapur.
“Saya kemudian arahkan pihak forensik untuk membuat tandaan dan arahkan jurufoto untuk ambil gambar kasut tersebut untuk siasatan saya,” katanya yang kini bertugas sebagai Pegawai Risikan Operasi di IPD Klang Selatan.
Mengulas lanjut, selepas selesai melakukan siasatan di rumah Zayn Rayyan sekitar jam 1 pagi, beliau telah dibawa oleh unit anjing pengesan (K9) ke belakang apartmen berkenaan berhampiran lokasi mayat kanak-kanak itu ditemukan.
“Saya juga ada mengarahkan pasukan forensik untuk mengambil sampel tanah berhampiran di mana si mati (Zayn Rayyan) dijumpai untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisa.
Dalam pada itu, saksi ini turut mengesahkan bahawa kesan darah yang dijumpai di dalam salah sebuah bilik di rumah Zayn Rayyan, merupakan milik kanak-kanak terbabit.
Dia berkata demikian berdasarkan laporan kimia yang diperoleh apabila mendapati sampel spesimen tulang sternum Zayn Rayyan adalah berpadanan dengan asid deoksiribonukleik (DNA) kanak-kanak terbabit.
“Darah dalam bilik air milik B1 (Zaim Ikhwan) manakala kesan darah dalam bilik milik si mati.
“Spesimen darah yang diperoleh daripada bilik berpadanan dengan spesimen tulang sternum berlabel Zayn Rayyan Abdul Matin,” ujarnya lagi.
Semalam, UtusanTV melaporkan beliau mendapati terdapat kesan darah di dalam sebuah bilik dan sebuah bilik air ketika melakukan siasatan di rumah kanak-kanak terbabit.
Dalam keterangan saksinya, Mohd Hafizee memberitahu mahkamah bahawa beliau bersama-sama pasukan forensik telah pergi ke lokasi kejadian dan telah melakukan proses ‘luminol’ di rumah Zayn Rayyan sekitar jam 9.30 malam pada 9 Disember 2023.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati terdapat kesan darah di bilik nombor dua di rumah si mati selain terdapat kesan darah atau asid deoksiribonukleik (DNA) di dalam bilik air.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa selaku orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan yang berusia enam tahun ketika kejadian, bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama antara jam 12 tengahari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

