PELANCARAN Hab Pengagihan Makanan Baharu bersempena dengan Sambutan Ulang tahun ke-10 penubuhan The Lost Food Project (TLFP) merupakan satu daripada usaha menangani pembaziran makanan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Dr Fuziah Salleh berkata, TLFP merupakan satu daripada rakan strategik utama bagi Program Food Bank Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, pelancaran hab pengagihan makanan baharu oleh TLFP merupakan penambahbaikan dalam usaha berterusan untuk menangani isu keselamatan makanan dan pembaziran makanan di Malaysia.
Fuziah berkata, melalui pelaksanaan program bank makanan serta teknologi retort, ia sekali gus memberi manfaat secara menyeluruh daripada inisiatif itu.
“Antara pencapaian utama KPDN dalam membangunkan ekosistem bank makanan negara termasuk menjalinkan kerjasama strategik dengan sembilan Rakan Strategik Utama KPDN.
“Selain itu, mewujudkan pantri Food Bank Siswa di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA); memperkasa penyelesaian inovatif seperti pelaksanaan program mesin retort untuk menyelamatkan lebihan makanan dan Menggalakkan kesukarelawanan melalui program Generasi Anak Muda (GEMA) dalam inisiatif MySaveFood melalui aplikasi ReMeal,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Hab Pengagihan Makanan Baharu.
Turut hadir Raja Permaisuri Perak, Raja Zara Salim bersama barisan rakan strategik, wakil industri makanan dan badan bukan kerajaan.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, pada 2025, sebanyak 69.1 tan makanan telah berjaya diselamatkan daripada 173 Bazar Ramadan RAHMAH melalui pelaksanaan inisiatif MySaveFood.
Katanya, inisiatif itu dilaksanakan di seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan, termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan yang menjadikannya satu usaha berterusan yang inklusif dan menyeluruh.
Menurut Fuziah, KPDN turut merancang untuk memperluaskan inisiatif itu ke pasar-pasar malam di seluruh negara.
“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan akses kepada makanan untuk golongan penerima, malah menyumbang kepada matlamat pengurangan pelepasan karbon akibat pembaziran makanan serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

