RANG Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) perlu diperdebatkan secara terbuka, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Hafez Sabri.
Perkara itu menurut Hafez penting kerana ia perlu dijelaskan dalam bahasa yang mudah difahami dan diputuskan dengan penglibatan bersama rakyat.
Katanya, setiap suara kritikal perlu dicermati, bukan disenyapkan dan ia tidak boleh dipaksakan secara tergesa-gesa selepas lawatan rasmi yang lebih mementingkan kamera daripada keadilan sosial.
“Membawa ahli Parlimen melawat flat-flat uzur di ibu negara untuk memberi pendedahan tentang keperluan RUU URA adalah tidak mencukupi untuk menangani isu besar yang mendasari undang-undang ini.
“RUU ini bukan isu kecil. Ia memberi kuasa merobohkan bangunan lama, kurangkan ambang persetujuan penduduk, dan ubah syarat pampasan. Semua ini secara langsung menyentuh hak rakyat terhadap hartanah milik mereka sendiri dan membawa kesan sosial yang jauh lebih mendalam.
“Antara risiko nyata ialah berlakunya proses gentrifikasi yang mengubah komposisi penduduk akibat peningkatan kos sara hidup membebankan penduduk asal, pusat komersial mewah muncul di luar kemampuan rakyat biasa, dan tekanan ekonomi memaksa pemilik asal menjual hartanah mereka kepada pemaju,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Hafez berkata, penurunan ambang persetujuan pula membuka ruang untuk suara minoriti dipinggirkan, membolehkan unit-unit dijual secara en bloc tanpa persetujuan sepenuhnya.
Di samping itu, katanya, pembangunan tanpa kawalan ketat berpotensi memusnahkan struktur warisan, memadam identiti komuniti setempat yang menjadi nadi kepada kehidupan bandar.
Lebih membimbangkan, Hafez berkata, pembaharuan itu berisiko berat memihak kepada pemaju hartanah dengan membangunkan projek-projek besar yang memberi manfaat kecil, tetapi membawa mudarat besar kepada penduduk asal, terutama generasi muda yang sudah pun berdepan krisis pemilikan rumah.
“Dalam keadaan ini, adakah lawatan satu hari cukup untuk ahli Parlimen memahami semua implikasi besar ini dan membuat keputusan yang adil dan bermaklumat?
“Jika yang dipamerkan hanya runtuhan, keluhan selektif dan projek siap bina, tanpa pendedahan penuh terhadap kuasa yang bakal diserahkan kepada kerajaan dan pemaju, maka lawatan itu hanyalah persembahan, bukan pendidikan.
“Apa yang diperlukan ialah mekanisme libat urus awam yang meluas bersama penduduk, bersama komuniti setempat, dan bersama suara-suara yang bakal terkesan secara langsung oleh RUU ini. Bukan sekadar ‘walkthrough’ sambil difoto media,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

