SINGAPURA dan Kemboja menyokong usaha Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk meneruskan dialog dengan semua pihak berkepentingan demi menjamin keselamatan petugas kemanusiaan dan membawa keamanan kepada rakyat Myanmar.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam panggilan telefon secara berasingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemimpin negara itu berhubung hal-hal berkepentingan serantau.
Menurut Perdana Menteri, beliau telah memaklumkan hasil pertemuannya dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Mahn Win Khaing Than daripada Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar di Bangkok, baru-baru ini.
“Kedua-dua Perdana Menteri menyuarakan sokongan dan menyambut baik pertemuan ini, yang dilihat sebagai kemajuan penting ke arah usaha damai berkekalan di Myanmar,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: Malaysia gesa Myanmar lanjut gencatan senjata – PM
Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan, beliau juga telah berbincang mengenai perkembangan perdagangan serantau khususnya berkaitan tarif balas yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Anwar berkata, Malaysia telah menghantar wakil melalui Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk mencari penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua negara.
Pada masa sama, katanya, Malaysia juga mengambil kesempatan untuk memohon AS memberikan ruang kepada semua negara ASEAN untuk mengusahakan penyelesaian melalui mekanisme hubungan dua hala masing-masing.
“Malaysia turut menyuarakan pendirian kohesif ASEAN dalam isu tarif balas ini dan menggesa AS melihat ASEAN sebagai satu ketumbukan dalam pertimbangannya berhubung isu tarif dan dasar-dasar perdagangan yang lain.
“Berpaksikan semangat persahabatan dan prinsip kepusatan ASEAN, saya percaya usaha bersama ini akan melimpahkan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan buat rakyat di seluruh rantau ini, Insya-Allah,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

