Culik pakar teknologi maklumat warga Palestin, 30 saksi akan dipanggil beri keterangan

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

SERAMAI 30 orang saksi akan dipanggil untuk memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada perbicaraan kes 14 individu yang didakwa menculik seorang pakar teknologi maklumat warga Palestin pada Julai depan.

Bilangan saksi itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Harvind Raja Gopal, pada prosiding pengurusan kes terbabit di hadapan Hakim K. Muniandy, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Rozialana Zakaria memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memanggil seramai 35 orang saksi bagi pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh tiga tertuduh daripada 14 individu tersebut.

“Saksi-saksi itu ialah pegawai bank, pemegang akaun serta orang awam,” katanya.

Perbicaraan bagi kes penculikan warga Palestin dan pengubahan wang haram akan didengar secara bersama-sama di hadapan Muniandy pada 7 sehingga 11 Julai depan.

Susulan itu, Muniandy memberikan tempoh sehingga dua minggu bagi pihak pendakwaan untuk menyediakan dan menyerahkan senarai saksi ketika pengurusan kes itu pada 23 Mei depan manakala penyataan saksi perlu diserahkan kepada pihak pembelaan dua minggu sebelum perbicaraan bermula.

Ketika prosiding, kesemua tertuduh diwakili oleh peguam Norma Goh Kim Lian, Adi Zulkarnain Zulkafli, Simran Kaur and Muhammad Amin Abdullah. 

14 individu berkenaan ialah termasuk seorang wanita, Nidarahayu Zainal, 37, serta suaminya, Raibafie Amdan, 42, selain Edy Ko’im Said, 43; Mohamad Norakmal Hassan, 44 dan Dody Junaidi, 45.

Selain itu, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 42; Mohamad Naziree Mustapha, 42; Faizull Hardey Mohd Isa, 43; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 28; Mohamad Sufian Saly, 26; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 24; Mohd Zaidi Mohd Zain, 57; dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 52.

Media melaporkan pada 28 November tahun lalu, Muniandy membenarkan permohonan ikat jamin 14 tertuduh itu masing-masing sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin dengan syarat melaporkan diri di balai polis berhampiran kediaman mereka setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Dalam pada itu, Muniandy turut mengarahkan perintah larangan bersuara ke atas kesemua tertuduh terbabit daripada mengulas atau membincangkan kes itu dalam apa jua bentuk, serta tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan dalam sebarang bentuk komunikasi sama ada sengaja atau sebaliknya.

Pada 20 Oktober 2023, Nidarahayu, didakwa atas 17 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram, manakala suaminya Raibafie dan Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid masing-masing didakwa atas satu pertuduhan sama membabitkan nilai keseluruhan RM250,000 antara 15 September 2022 sehingga 3 Oktober 2022.

Pendakwaan bagi kes itu dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Terdahulu pada Oktober 2022 kesemua 14 tertuduh didakwa secara niat bersama menahan Omar untuk mendapat ganjaran, iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang, di sini, pada jam 10.40 malam 28 September 2022 yang mana pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua anggota MALBATT cedera akibat serangan udara di Lubnan

DUA anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 cedera ringan selepas konvoi logistik yang mereka sertai terkena kesan sampingan daripada satu...

More Articles Like This