PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Mufti Besar Rusia, Sheikh Ravil Gaynutdin di Moscow, semalam selepas mesyuarat dua hala dengan Presiden Vladimir Putin.
Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri menyifatkan pertemuannya dengan Sheikh Ravil yang juga Pengerusi Lembaga Agama Islam Persekutuan Rusia itu membuka ruang mempererat ukhwah antara dua komuniti Islam merentasi sempadan geografi dan perbezaan budaya.
Pada masa sama, kata beliau, ia juga menyaksikan jalinan hubungan Malaysia dengan lebih 25 juta umat Islam di Rusia yang hidup dalam kepelbagaian aliran dan tradisi.
Menurut Perdana Menteri, beliau dan Sheikh Ravil telah bertukar pandangan mengenai pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama.
“Ia termasuk usaha memperkukuh institusi Islam, memperluas pertukaran kepakaran serta memperkasa industri halal di Rusia dengan memanfaatkan kelebihan Malaysia sebagai peneraju pensijilan halal yang diiktiraf dunia.
Baca artikel lain: MH17: PM Anwar bangkitkan keputusan ICAO kepada Putin
“Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif Mufti Besar Rusia itu dalam mempromosi keharmonian antara agama dan membina persefahaman dalam masyarakat majmuk negara itu.
“Ini adalah usaha yang amat berharga dalam dunia yang semakin dicalari perpecahan, kebencian dan prejudis,” katanya dalam hantaran tersebut hari ini.
Anwar turut menghadiahkan al-Quran dengan terjemahan dalam bahasa Rusia kepada Sheikh Ravil sebagai tanda persahabatan dan ikhtiar dakwah.
Katanya, ia selari dengan aspirasi MADANI mewakafkan sejuta al-Quran ke seluruh dunia demi memperluas kefahaman terhadap ajaran Islam dan menangkis gelombang Islamofobia.
“Sebagai balasan penuh makna, Sheikh Ravil turut menghadiahkan saya senaskhah al-Quran mushaf Uthmani dari Uzbekistan yang punyai sejarah panjang dan menjadi simbol kelangsungan ilmu serta warisan keindahan Islam yang merentasi benua dan generasi,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

