POLIS kini memburu sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam satu pergaduhan di kawasan Jalan Kebun Sultan di Kota Bharu baru-baru ini yang turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya telah mengesan satu rakaman berhubung kejadian sekitar jam 1.40 petang semalam.
Video terbabit memaparkan sekumpulan lelaki keluar dari dua kenderaan dan memukul beberapa orang yang berada di tempat kejadian.
Tonton video penuh: https://t.me/infoutusantv/10503
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian terbabit berlaku sekitar jam 4.27 pagi pada 23 Mei lepas.
“Susulan kejadian itu satu laporan polis dibuat dan kita sedang mengenal pasti kesemua suspek yang terbabit, serta punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mohd Rusdi turut menyeru agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian bagi mengelakkan siasatan polis terjejas.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Rabiatul Nabilah Rebinor di talian 012-8772106 atau 09-7752200,” katanya lagi.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

