BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menolak desas-desus kononnya beliau akan dilantik sebagai Senator sekali gus menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan tidak lama lagi.
Sebaliknya, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu juga menyifatkan tidak ada sebab untuk beliau meninggalkan kehidupan ketika ini yang diakui lebih baik.
Khairy ketika ini dikenali menerusi rancangan audio siar (podcast) Keluar Sekejap yang dikendalikan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Beliau juga merupakan penyampai radio di stesen radio HotFM.
“Saya sedang menikmati kehidupan yang baik sekarang, kenapa saya nak tinggalkan ini?,” katanya seperti dilapor BH Online, hari ini.
Baru-baru ini, nama Khairy dikaitkan bakal dilantik sebagai Ahli Dewan Negara sekali gus membolehkan beliau menyertai barisan Kabinet.
Ia susulan terdapat dua kekosongan dalam Jemaah Menteri apabila Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan selepas tewas dalam pemilihan PKR, baru-baru ini.
Laporan media turut menyebutkan bahawa Khairy mungkin dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi menggantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Baca artikel lain: Tuduhan Khairy terhadap PTD tidak berasas – PPTD
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa pula dikatakan akan mengambil alih tugas ditinggalkan Rafizi sebagai Menteri Ekonomi.
Jawatan Nik Nazmi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pula dikatakan bakal digantikan Naib Presiden PKR yang baharu, Datuk Seri R Ramanan.
Sementara itu, menyentuh mengenai gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mana-mana individu Melayu termasuk ahli parti lain untuk menyertai gerakan Sekretariat Orang Melayu, Khairy enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.
“Saya bukan ahli Perikatan Nasional (PN) dan juga bukan ahli UMNO buat masa sekarang. Seeloknya saya tak komen, kita fokus kepada pelancaran ini,” katanya.
Semalam, Dr Mahathir memaklumkan satu gerakan yang dinamakan Sekretariat Orang Melayu dibentuk bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu di bawah satu payung besar.
Dr Mahathir berkata, inisiatif itu adalah satu langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan cabaran yang dihadapi orang Melayu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

