Titah Adendum: 160 Ketua UMNO Bahagian desak Anwar laksana segera

Dari Penulis

SERAMAI 160 Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tanggungjawab penuh melaksanakan Titah Adendum membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Perkara itu ditegaskan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah mewakili kesemua 160 Ketua UMNO Bahagian itu seperti dilapor portal Malaysia Gazette.

Menurut Mohd Shafei, tiada alasan lagi untuk Perdana Menteri melengahkan Titah Adendum itu sebagaimana yang telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan semua UMNO Bahagian di seluruh negara yang masih belum bersidang untuk membawa usul khas mengenai isu Titah Adendum.

“Usul ini penting sebagai bukti kesepakatan dan solidariti parti dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta menegakkan prinsip keadilan untuk semua,” katanya.

Antara yang hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Langkawi; Datuk Mohd Nazifuddin Najib; Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (Alor Setar), Datuk Suraya Yaacob (Pendang), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai), Datuk Johan Abdul Aziz (Hulu Langat), dan Datuk Seri Ahmad Said (Kemaman).

Mengulas lanjut, Mohd Shafei bersama semua Ketua UMNO Bahagian itu juga mendesak Peguam Negara menarik balik permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Januari 2025.

“Sebagai penasihat undang-undang tertinggi kerajaan, Peguam Negara seharusnya menjunjung titah Raja serta mendukung keadilan dan bukan menghalangnya,” katanya.

Baca artikel lain: Titah Adendum: Ketua-Ketua UMNO Bahagian adakan perjumpaan malam ini

Ketika ditanya apakah yang akan dilakukan sekiranya Titah Adendum itu masih tidak dilaksanakan, Mohd Shafei tidak menolak kemungkinan tindakan lebih agresif akan dilakukan.

We cross the bridge when we come to it,” katanya.

Sementara itu, Shafie memberitahu perjumpaan Ketua-Ketua UMNO Bahagian pada malam tadi diadakan atas inisiatif bersama mereka.

“Pertemuan ini diadakan sebagai respon kepada kenyataan media Setiausaha Agung UMNO bertarikh 11 Julai 2025 mengenai isu Titah Addendum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Rakyat telah pun maklum pada 4 Januari 2025, Istana Pahang secara rasmi memperakukan melalui surat bahawa Titah Adendum tersebut benar-benar wujud dan sahih,” katanya.

9 Julai lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor tidak mempertikaikan kewujudan titah adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dihujahkan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan pada prosiding di Mahkamah Persekutuan.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemandu Lexus positif dadah rempuh remaja hingga maut

SEORANG remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah yang terbabas ke laluan...

More Articles Like This