SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan berhubung video tular melibatkan sekumpulan individu yang dipercayai pempengaruh memberikan sisa makanan mengandungi nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan berkenaan telah pun dimulakan susulan aduan orang ramai.
Tegas MCMC, agensi itu memandang serius tindakan menghasil dan menyebar kandungan mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan serta menimbulkan keresahan orang ramai.
Suruhanjaya itu memberitahu, penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat.
“MCMC menegaskan bahawa siasatan terhadap kandungan tersebut sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
“Orang ramai diingatkan agar tidak menyebar atau memuat naik sebarang kandungan bersifat provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan itu.
Baca artikel lain: MCMC ambil tindakan atasi masalah liputan di Kampung Sungai Relai, Gua Musang
Mengulas lanjut, MCMC menegaskan, sebarang perkongsian kandungan jelik melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 [Akta 588].
Katanya, jika disabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC memaklumkan, agensi itu komited dan tegas memastikan ruang siber tidak disalahgunakan, sejajar dengan usaha mengekalkan kedaulatan undang-undang dan keharmonian.
Terdahulu, tular sebuah video pendek yang memaparkan tindakan sekumpulan pempengaruh memberikan nasi bersama tulang ayam yang telah dimakan kepada seorang gelandangan, sebelum kemudiannya menyerahkan set makanan lengkap.
Kandungan tersebut menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak yang menganggap ia tidak beretika dan memperlekehkan maruah individu terbabit.
Tiga individu itu kemudiannya tampil memohon maaf atas tindakan mereka itu.
Salah seorang remaja terbabit mendakwa bahawa mereka sebenarnya telah mendapat persetujuan daripada lelaki gelandangan itu untuk merakam video berbentuk eksperimen sosial.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

