KEPUTUSAN rayuan Peguam Negara untuk menghalang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam semakan kehakiman mengenai Titah Adendum bakal diputuskan Mahkamah Persekutuan Putrajaya, hari ini.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan mengetuai panel tiga hakim bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah bagi memutuskan keputusan itu.
Panel akan memutuskan sama ada mengekal atau mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan.
Jika rayuan ditolak, semakan itu akan diteruskan di Mahkamah Tinggi berdasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan.
Bagaimanapun, sekiranya rayuan dibenarkan, ia sekali gus menyebabkan hasrat Najib, 72, meneruskan semakan kehakiman ini bagi mendapatkan perintah mandamus supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah, berakhir serta-merta.
Barisan peguam Najib masih boleh berpeluang mengemukakan permohonan pengampunan kali kedua kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pada 9 Julai lalu, mahkamah selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Baca artikel lain: ‘Akauntabiliti di tangan Perdana Menteri’, Puad Zarkashi ulas isu titah tahanan rumah Najib
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan berpendirian, titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu wujud yang membolehkan beliau menjalani baki tempoh hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Beliau kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang, Selangor selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Bekas Presiden UMNO itu pernah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

