Mansuhkan sistem doktor kontrak? Antara kegentingan & solusi kesan jangka masa panjang

Dari Penulis

ISU kekurangan petugas kesihatan bukanlah perkara yang boleh dipandang enteng. Perkara tersebut boleh dikatakan agak kritikal sekiranya pihak bertanggungjawab tidak memberi penekanan terhadap tenaga pakar perubatan.

Malah, perbahasanusul Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, ia turut membincangkan isu ini.

Misalnya, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mencadangkan kerajaan memansuhkan sistem kontrak dalam kalangan doktor bagi menangani isu kekurangan petugas kesihatan di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagi saya, mereka yang sudah berkhidmat lebih daripada tiga tahun dan berkhidmat di desa atau kawasan pedalaman harus diberikan keutamaan untuk mendapat penempatan tetap secepat mungkin, manakala yang baharu masuk dalam sistem KKM, kita mansuhkan terus sistem kontrak ini,” katanya.

Yii turut meminta kerajaan mempercepat kenaikan elaun ‘on-call’ atau tugas atas panggilan doktor dan jururawat serta menyediakan peruntukan khas dan emolumen.

Sejak 2016, sistem kontrak diperkenalkan bagi menempatkan graduan perubatan baharu ke dalam perkhidmatan awam. 

Langkah ini, yang pada asalnya bersifat sementara, kini telah mencetuskan pelbagai isu besar yang membelenggu doktor muda di seluruh negara.

Sistem ini gagal memberi jaminan kerja tetap kepada ribuan doktor yang telah menamatkan latihan siswazah. Ramai yang berkhidmat selama lima hingga tujuh tahun masih tidak diserap ke jawatan tetap. Ini menimbulkan tekanan psikologi, ketidakstabilan kerjaya, dan kehilangan semangat dalam kalangan tenaga kerja profesional.

Lebih membimbangkan, sistem kontrak ini menjejaskan kesinambungan dan kualiti perkhidmatan kesihatan awam. Banyak hospital kerajaan, khususnya di luar bandar, kekurangan doktor tetap. 

Apabila kontrak tamat atau doktor dipindahkan secara mendadak, rawatan pesakit terkesan dan beban kerja meningkat ke atas kakitangan sedia ada.

Dalam aspek ekonomi pula, kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk melatih doktor-doktor ini, namun hasilnya tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Ramai yang meninggalkan sektor awam atau berhijrah ke luar negara, menjadikan pelaburan pendidikan satu kerugian besar kepada negara.

Isu ini telah dibangkitkan semula di Parlimen dengan cadangan agar sistem kontrak dimansuhkan dan digantikan dengan pelan penempatan tetap berasaskan merit. 

Antara cadangan yang dikemukakan ialah menyerap doktor kontrak yang berkhidmat lebih tiga tahun di kawasan pedalaman, memberi insentif kepada doktor luar bandar termasuk elaun khas dan laluan ke jawatan tetap.

Selain itu, menyelaraskan kuota kemasukan pelajar perubatan mengikut keperluan pasaran dan menggubal Pelan Tenaga Kerja Kesihatan Negara untuk perancangan jangka panjang.

Isu ini bukan sekadar masalah pekerjaan. Ia menyentuh masa depan sistem kesihatan negara, keadilan sosial, dan kepercayaan golongan profesional muda terhadap dasar kerajaan.

Sudah tiba masanya sistem ini diperbaiki secara menyeluruh. Doktor muda ialah tulang belakang sistem kesihatan. 

Mereka menyelamatkan nyawa saban hari, maka kerajaan juga perlu menyelamatkan masa depan mereka dengan dasar yang lebih adil dan berdaya saing.

-Nurfarhana Mohamed adalah pengarang URTV di UtusanTV

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Manusia lupa, Allah pernah melaknat manusia menjadi spesies kera

CUTI sempena Aidiladha tempoh hari, saya sempat pulang ke kampung halaman. Ketika itu, kebun kecil di depan rumah sedang 'berbahagi...

More Articles Like This