UNIT Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil alih sepenuhnya siasatan kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin berkuat kuasa semalam.
Ia susulan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan supaya kubur Allahyarham Syamsul Haris digali semula bagi tujuan bedah siasat kali kedua.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan, pengambilalihan siasatan oleh USJT JSJ Bukit Aman itu adalah bagi tujuan penyelarasan tindakan.
Pada masa sama, beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi komitmen sepenuhnya untuk mematuhi perintah mahkamah itu.
“PDRM mengambil maklum permohonan oleh Ummu Hainan Bee Daulatgun yang difailkan melalui Peguam Naran Singh & Co di Mahkamah Tinggi Jenayah, Shah Alam untuk mendapatkan perintah menggali semula (exhume) jasad Syamsul Haris yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu.
“PDRM turut memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti berlandaskan undang-undang mengikut prinsip rule of law bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan kubur Syamsul Haris digali semula bagi tujuan bedah siasat kali kedua.
Baca artikel lain: Penggalian kubur Syamsul Haris akan dilaksana secepat mungkin – Saifuddin
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Semasa membaca keputusan berkenaan, hakim berkata, pihak Ketua Polis Negara selaku responden pertama akan menyelia proses penggalian semula jasad anak sulung yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu.
Pada prosiding tersebut, Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden, iaitu:
- Perintah untuk menggali keluar semula jenazah Syamsul Haris di Tanah Perkuburan Islam Rinching Ulu bagi menjalankan bedah siasat kedua bawah penyeliaan responden pertama, iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya dan boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu.
- Perintah bagi seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, iaitu patologi forensik untuk melakukan bedah siasat semula ke atas jasad Syamsul Haris dalam tempoh 14 hari selepas jenazah itu dikeluarkan, dengan kehadiran pakar forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh, dan peguam lantikan keluarga, Datuk Naran Singh atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co.
- Perintah bagi pakar forensik yang menjalankan bedah siasat itu untuk mengeluarkan laporan dalam tempoh munasabah dari tarikh bedah siasat dijalankan, dan satu salinan laporan itu hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon, Tetuan Naran Singh & Co.
Untuk rekod, Allahyarham Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram.
Jenazah kemudian dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor.
Ibu mangsa memfailkan permohonan untuk menggali semula kubur anaknya bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan serta mencadangkan agar prosiding inkues dibuka.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

