Malaysia tegaskan sokongan perjuangan rakyat Palestin, undi sokong Resolusi UNGA

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

MALAYSIA telah mengundi menyokong Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengenai Deklarasi New York yang bertujuan mengiktiraf sebuah negara Palestin dan memajukan penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

Resolusi tersebut telah diterima pakai dengan sokongan majoriti besar negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan 142 undi, semalam.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia itu sebagai tanda solidariti bersama Palestin dan usaha untuk merealisasikan penyelesaian dua negara serta mengiktiraf negara berdaulat Palestin.

Menurut Wisma Putra, komitmen kolektif dan penerimaan masyarakat antarabangsa ke atas penyelesaian dua negara dan pengiktirafan negara Palestin merupakan langkah penting ke arah menamatkan pendudukan haram Israel dan jenayah keganasan rejim zionis.

Katanya, ini telah mendorong Malaysia untuk membuat keputusan menyokong resolusi tersebut.

“Dalam Kenyataan Negara selepas proses pengundian, Malaysia telah menegaskan bahawa penyelesaian dua negara dan pengiktirafan negara Palestin perlu direalisasikan tanpa sebarang pra-syarat, berdasarkan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

“Malaysia menegaskan bahawa kedaulatan dan keutuhan wilayah Palestin dan hak pulang ke tanah air bagi jutaan pelarian Palestin, yang terjamin di bawah undang-undang antarabangsa mesti dijadikan sebahagian daripada penyelesaian isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel lain: Hukum wanita sertai misi kemanusiaan ke Palestin harus, tak salah – Pejabat Mufti WP

Mengulas lanjut, Wisma Putra memaklumkan, Malaysia turut menggesa supaya kelemahan dan kekurangan Deklarasi New York ditangani sepenuhnya melalui langkah-langkah konkrit dan penetapan pelan tindakan yang melindungi serta memelihara kebebasan dan hak kenegaraan rakyat Palestin.

Pada masa sama, ia juga perlu menghormati kehendak dan aspirasi rakyat Palestin; menjamin keselamatan Palestin dan memastikan akauntabiliti dikenakan ke atas Israel bagi pencabulan undang-undang antarabangsa, jenayah genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

“Malaysia menegaskan bahawa deklarasi ini perlu membuka jalan untuk menamatkan peperangan dan kekejaman rejim zionis Israel ke atas Gaza dengan serta-merta dan bencana kemanusiaan di wilayah Palestin dalam mencapai keamanan yang berkekalan di rantau Asia Barat,” katanya.

Semalam, UNGA meluluskan satu resolusi menyokong Deklarasi New York, yang bertujuan mengiktiraf sebuah negara Palestin dan memajukan penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

Resolusi tersebut, yang secara rasmi bertajuk “Sokongan kepada Pengisytiharan New York mengenai Penyelesaian Damai Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara,” diluluskan dengan 142 undi menyokong, 10 menentang, dan 12 berkecuali.

Deklarasi yang diperkenalkan oleh Perancis dan Arab Saudi itu telah pun ditandatangani bersama oleh 17 negara anggota semasa satu persidangan antarabangsa di ibu pejabat PBB di New York pada Julai lalu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

6 termasuk bayi maut dalam kemalangan dengan lori muatan tanah di Sungai Petani

ENAM maut termasuk seorang bayi selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan...

More Articles Like This