KEPERCAYAAN, inovasi dan kerjasama serantau adalah kunci utama dalam membentuk masa depan digital ASEAN yang inklusif dan selamat, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Nie Ching berkata, bagi ASEAN, membina kepercayaan digital bermakna memastikan privasi data, memperkukuh keselamatan siber dan melindungi daripada ancaman baharu.
Tidak terkecuali, kata beliau, adalah mewujudkan persekitaran yang membolehkan perniagaan dan rakyat berasa selamat untuk menyertai.
Nie Ching berkata, laporan GSMA Digital Nations ASEAN 2025 menunjukkan Malaysia mencatat skor 75 dalam tadbir urus data, menandakan komitmen kukuh terhadap privasi dan perlindungan maklumat.

Menurut beliau, tenaga kerja Malaysia yang cekap dan mudah menyesuaikan diri telah menjadi aset utama dalam ekonomi digital yang sentiasa berubah.
“Kepercayaan digital perlu dibina melalui perlindungan data, keselamatan siber dan persekitaran yang selamat untuk pengguna dan perniagaan. Statistik menunjukkan ancaman siber di ASEAN semakin meningkat, dengan kos purata pelanggaran data mencecah lebih USD3 juta pada 2024.
“Di Asia, kerugian akibat penipuan dalam talian mencecah USD688.4 bilion, dengan separuh penduduknya berdepan penipuan setiap bulan. Malaysia telah meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun bagi menangani jenayah siber dan gangguan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Digital Nation Kuala Lumpur (Edisi ASEAN) yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, langkah pindaan akta itu disusuli dengan penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 bagi memperkukuh ekosistem digital negara.
Selain itu, katanya, Kempen Internet Selamat (KIS) yang dilancarkan pada Januari lalu juga telah menjangkau lebih 150,000 rakyat Malaysia, merangkumi pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat.
Sementara itu, bercakap mengenai transformasi digital, Nie Ching berkata, inovasi adalah enjin utama transformasi digital, dengan ekonomi digital ASEAN kini bernilai USD300 bilion dan dijangka melebihi USD1 trilion menjelang 2030.

Katanya, Malaysia menyokong inovasi melalui Geran Digital PMKS Madani yang telah membantu 38,804 perusahaan kecil dan sederhana dengan dana RM89.6 juta pada tahun 2024.
“Bagi tahun 2025, tambahan RM50 juta diperuntukkan, termasuk RM30 juta khusus untuk sektor kesihatan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Pelan JENDELA terus memperluas capaian rangkaian, dengan liputan 5G di kawasan berpenduduk kini mencecah 82.4 peratus manakala 4G melebihi 98.8 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, Pusat NADI yang berjumlah 1,099 di seluruh negara menyediakan sambungan berkelajuan tinggi dan memperkasa ekonomi komuniti setempat.
Katanya, Projek Inklusif Digital NADI telah meraih anugerah WSIS 2025 dalam kategori Pembinaan Kapasiti, mengiktiraf usaha Malaysia merapatkan jurang digital.
Nie Ching menegaskan, inovasi mesti bersifat inklusif dan tidak hanya dinikmati oleh golongan yang sudah terhubung.
Katanya, kerjasama serantau perlu diperkukuh dalam menangani ancaman siber, penipuan dan tadbir urus AI yang merentasi sempadan.

“Malaysia komited untuk bekerjasama dengan negara jiran, sektor swasta dan rakan antarabangsa bagi memastikan ASEAN kekal relevan dalam ekonomi digital global.
“Kerjasama dengan GSMA melalui MCMC akan memperluas siri M360 ke peringkat ASEAN tahun depan, selaras dengan visi ASEAN 2045.
“Saya percaya bahawa sidang ini adalah permulaan kepada bab baharu dalam membina negara digital yang dipacu oleh kepercayaan, inovasi dan perpaduan serantau,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

