SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh perintah bagi menghalang sebarang transaksi jual beli melibatkan 2.5 juta saham syarikat Palantir Technologies Inc. (Palantir).
Ia didaftarkan atas nama Tarik Essam Ahmad Obaid atau lebih dikenali sebagai Tarek Obaid.
Perintah menghalang (restrained) itu dikeluarkan oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) pada pendengaran kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Perintah tersebut susulan permohonan difailkan SPRM pada 26 September lalu.
Permohonan ini berdasarkan maklumat diterima SPRM bahawa pada 2010, Tarek Obaid telah menerima, memindah dan menggunakan hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya bagi memperoleh saham Palantir Technologies Inc dengan nilai belian ketika itu berjumlah AS$2 juta.
Menerusi perintah ini, SPRM berjaya menghalang 2.5 juta saham atas nama Tarek Obaid yang kini dianggarkan bernilai AS$448 juta atau bersamaan lebih RM2 bilion ini daripada diniagakan.

