Hamas, Israel setuju fasa pertama Pelan Damai Trump, tamatkan perang dua tahun di Gaza

Dari Penulis

NEGARA haram Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi Gaza, merangkumi gencatan senjata dan perjanjian tebusan yang berpotensi menamatkan perang berdarah selama dua tahun di Asia Barat.

Persetujuan itu dicapai sehari selepas ulang tahun kedua serangan lintas sempadan kumpulan militan Hamas yang mencetuskan serangan balas besar-besaran Israel ke atas Gaza.

Perjanjian berkenaan terhasil selepas rundingan tidak langsung di Mesir yang berjaya mencapai kata sepakat terhadap peringkat awal kerangka 20 perkara pelan damai Trump untuk keamanan di wilayah Palestin tersebut.

Jika dilaksanakan sepenuhnya, perjanjian itu bakal membawa kedua-dua pihak lebih hampir ke arah penamatan perang berbanding mana-mana usaha terdahulu.

Konflik yang berlarutan itu telah mencetuskan ketegangan serantau melibatkan negara seperti Iran, Yaman dan Lubnan serta menambah pengasingan Israel di peringkat antarabangsa.

Namun, pengumuman Trump masih kekurangan butiran terperinci dan meninggalkan banyak persoalan yang belum terjawab, sekali gus menimbulkan kebimbangan ia mungkin gagal seperti rundingan damai terdahulu.

Kejayaan pelaksanaan perjanjian ini akan menjadi pencapaian dasar luar penting bagi Trump yang berkempen membawa keamanan global tetapi masih belum mencapai kejayaan besar, termasuk dalam isu Gaza dan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

“Saya amat berbangga mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah menandatangani Fasa Pertama Pelan Damai kami,” kata Trump di laman Truth Social.

“Ini bermakna semua tebusan akan dibebaskan dalam masa terdekat dan Israel akan menarik balik tenteranya ke garisan yang telah dipersetujui sebagai langkah pertama menuju Keamanan yang Kukuh, Berkekalan dan Abadi,” tambah beliau.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam kenyataan bertulis berkata, “Dengan pertolongan Tuhan, kami akan membawa semua mereka pulang,” merujuk kepada tebusan yang masih ditahan Hamas.

Netanyahu turut memaklumkan beliau akan memanggil mesyuarat kabinet pada Khamis bagi meluluskan perjanjian tersebut.

Hamas dalam kenyataannya mengesahkan persetujuan itu dicapai, termasuk penarikan keluar tentera Israel dari Gaza serta pertukaran tebusan dan tahanan.

Bagaimanapun, kumpulan itu menyeru Trump dan negara penjamin supaya memastikan Israel mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata tersebut.

Trump sebelum ini memaklumkan bahawa perjanjian hampir dimuktamadkan dan beliau mungkin akan berkunjung ke Mesir hujung minggu ini.

“Semua pihak akan dilayan dengan adil! Ini hari yang amat bermakna untuk negara Arab dan Islam, Israel, negara jiran serta Amerika Syarikat, dan kami berterima kasih kepada para perantara dari Qatar, Mesir dan Turkiye atas kejayaan bersejarah ini,” kata Trump.

Walaupun harapan tinggi diletakkan untuk menamatkan perang, masih banyak butiran penting belum dimuktamadkan termasuk tempoh pelaksanaan, pentadbiran pascaperang Gaza dan masa depan kumpulan Hamas.

Pihak berkuasa Gaza melaporkan lebih 67,000 orang terbunuh dan sebahagian besar wilayah itu musnah sejak Israel melancarkan operasi ketenteraan sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Menurut pegawai Israel, serangan tersebut mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan 251 individu dijadikan tebusan, dengan hanya 20 daripada 48 tebusan yang masih hidup.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Isu pelekat logo halal atas meja: MBPP telah beri nasihat, amaran tak guna logo tanpa kelulusan

MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil tindakan dengan memberi nasihat dan amaran peniaga gerai burger di sebuah medan...

More Articles Like This