SEPASANG suami isteri yang juga pengusaha kedai makan Warung Aziz Satar, Kemaman maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4×4) dinaiki mereka terbabas di Kilometer 162.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur di Maran, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai memaklumkan, kejadian itu turut menyebabkan empat lagi individu termasuk seorang kanak-kanak mengalami kecederaan.
Menurut Kim Wai, Aziz Awang, 68, dan isterinya, Hasnah Mat Nong, 64, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu berlaku apabila Toyota Hilux dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
“Kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands, Pahang menuju ke Kemaman, Terengganu bersama empat pekerja dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Ketika tiba di lokasi, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan akibat hujan lebat dan permukaan jalan licin sebelum terbabas ke longkang di bahu kiri jalan.
Baca artikel lain: Bas ekspres langgar papan tanda di PLUS akibatkan seorang maut
“Akibat kemalangan itu, dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga pekerja serta seorang kanak-kanak berusia lapan tahun cedera,” katanya.
Mangsa yang cedera ialah Che Siti Suhaida Che Amat, 27; Rohani Chik, 65; Noraini Mamat, 45; dan Nor Ayra Qaisara Ahmad Iduwan, 8, yang kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat yang dijalankan awal pagi ini.
“Punca kemalangan dipercayai akibat hujan lebat dan keadaan jalan yang licin. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu terkenal dalam kalangan penduduk tempatan di Kemaman kerana mengusahakan Warung Aziz Satar, kedai makan yang menjadi tumpuan penggemar makanan laut panggang.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

