
TARIKH 9 Oktober 2025 iaitu Khamis lalu menjadi satu momen penting dalam lipatan sejarah dunia terutama melibatkan Palestin.
Pada tarikh itulah perjanjian gencatan senjata di Gaza antara Israel dan Hamas berjaya dimeterai sekali gus menamatkan konflik selama dua tahun.
Perjanjian yang berkuat kuasa mulai 10 Oktober, Jumaat lalu itu selaras dengan pelan damai yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Besar harapan masyarakat dunia bahawa perjanjian itu benar-benar direalisasikan sehingga bumi Gaza dapat kembali aman dan makmur.
Ia juga diharap dapat menjadi titik tolak kepada pembebasan sepenuhnya Palestin sekali gus berakhirnya penderitaan yang dialami rakyat negara itu selama lebih tujuh dekad.
Minggu lalu, kita sebagai rakyat Malaysia turut meraikan ketibaan pulang ‘ibu ayah online’ yang turut serta dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition x Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTG).
Sebelum itu, 23 warga tempatan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) juga selamat tiba di tanah air.
Dua kumpulan itu berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika berada dalam tahanan rejim zionis Israel.
Semangat yang ditampilkan mereka menjadi bukti jelas bahawa perjuangan ini masih belum berakhir.
Baca artikel lain: Gelombang flotilla ke Gaza akan terus berlayar
Itu juga yang dinyatakan salah seorang aktivis iaitu Thiago Avila dalam video yang dimuat naik ke TikTok miliknya.
Thiago membangkitkan persoalan sama ada dunia perlu ‘meraikan’ gencatan senjata yang dimeterai antara Hamas dan Israel.
Kata aktivis berusia 39 tahun itu, masyarakat dunia perlu meraikan gencatan senjata itu tetapi ia masih belum berakhir.
Bagaimanapun, dunia masih perlu berhati-hati dengan perjanjian gencatan senjata itu apatah lagi kita semua tahu perangai sebenar puak zionis yang sering melanggar perjanjian sebelum ini.
Sikap ‘cakap tidak serupa bikin’ zionis Israel itu bukan sahaja memang diketahui umum tetapi juga telah tertulis menerusi Firman Allah SWT.
Al-Quran telah telah mendedahkan sifat-sifat dan sikap Yahudi dalam pelbagai surah untuk dijadikan pengajaran oleh umat Islam dan supaya kita tidak termasuk dalam perangkap Yahudi.
Perjanjian itu masih belum lagi menjurus ke arah pembebasan sepenuhnya Palestin sebagai sebuah negara merdeka, malah tidak menjanjikan berakhirnya kekejaman dilakukan rejim zionis.
Justeru, menjadi tanggungjawab masyarakat untuk terus bersuara dan mendesak pimpinan dunia memastikan Gaza dapat dibangunkan semula dengan damai.
Janganlah sesekali kita meninggalkan perjuangan warga Palestin.
Janganlah hanya menyatakan sokongan bermusim kerana isu ini bukan krisis bermusim, ia masalah kemanusiaan berlarutan lama dan mungkin mengambil masa untuk generasi akan datang.
Kekal ‘sumud’, kekal bising, kerana kita semua sebahagian daripada usaha membebaskan Palestin.
Afiq Mohd Shah ialah Penolong Pengarang Berita UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

