SEORANG lelaki yang sebelum ini disabitkan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya yang hamil sehingga berada dalam keadaan koma, kekal dipenjara selama 10 tahun.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Atan Mustaffa Yussof Ahmad selepas menolak rayuan Rosmaini Abd Raof, 42, terhadap sabitan serta hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen.
Memetik laporan BH Online, mahkamah turut menolak rayuan silang pihak pendakwaan untuk menambah hukuman penjara terhadap Rosmaini yang juga seorang peniaga itu.
Ia selepas mahkamah mendapati hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini yang kini bekas suami kepada Jahidah Nordin @ Sylvester, 46, adalah memadai.
Dalam penghakimannya, Atan Mustaffa memaklumkan, hakim Mahkamah Sesyen dilihat tidak melakukan sebarang kesilapan dalam menentukan saksi pendakwaan 1 (SP1) adalah saksi yang dipercayai.
“Kemunculan dua eksibit D45 dan D47 (laporan polis dan surat akuan berkanun) yang diragui itu pula hanya dikemukakan selepas tertuduh dipanggil membela diri dan selama perbicaraan lebih dua tahun, ‘versi baharu’ ini tidak pernah dikemukakan oleh mana-mana saksi pendakwaan.
“Tertuduh juga satu-satunya individu yang mempunyai akses ke apartmen (lokasi kejadian) dan tertuduh juga mengaku pada SP1 (rakan Rosmaini), dia ada memukul isterinya menggunakan tangan.
“Berdasarkan laporan perubatan juga menunjukkan mangsa cedera parah pada otak dan memerlukan pembedahan selain tertuduh cuba melarikan diri ketika ditangkap polis,” katanya.
Baca artikel lain: Bermula tahun hadapan bayar saman lepas 61 hari berdepan tindakan mahkamah, senarai hitam – Loke
Berhubung permohonan silang pihak pendakwaan, Atan Mustaffa berkata, Mahkamah Tinggi tidak akan campur tangan terhadap keputusan tempoh hukuman ditetapkan Mahkamah Sesyen.
“Pendakwaan berhujah hukuman penjara selama 10 tahun adalah terlalu ringan jika dibandingkan dengan tahap kecederaan yang serius dialami mangsa.
“Walaupun mahkamah simpati pada mangsa yang kini dalam keadaan memerlukan penjagaan berterusan kesan perbuatan tertuduh, namun mahkamah tidak berpuas hati untuk campur tangan tentang keputusan tempoh hukuman Mahkamah Sesyen itu,” katanya.
Pada prosiding hari ini, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu dan Umar Faiz Abdul Kohar manakala peguam, Kamal Hisham Jaafar; Muhammad Nor Tamrin dan Nurainaa Kamilah Zalizan mewakili Rosmaini.
Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru, membenarkan permohonan Rosmaini untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya itu sementara menunggu rayuan sabitan dan hukuman didengar serta diputuskan Mahkamah Tinggi.
Rosmaini sempat dipenjarakan 79 hari selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri ketiganya, Jahidah, 46, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan, dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Jahidah dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kanak-kanak itu disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

