JABATAN Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram.
AGC memaklumkan, keputusan dibuat setelah pihaknya berpuas hati bahawa tiada prospek kejayaan sekiranya rayuan diteruskan.
Jelasnya, AGC telah menerima rekod rayuan dari Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober lalu berhubung keputusan tersebut sebelum meneliti sepenuhnya alasan penghakiman yang diperolehi.
“Sekiranya rayuan diteruskan, pihak pendakwaan tidak akan dapat membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sebagaimana diperlukan.
“Memandangkan saksi-saksi penting yang diperlukan untuk membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh telah meninggal dunia dan tidak lagi dapat dikesan.
“Dalam keadaan sedemikian, kesalahan predikat terhadap tertuduh juga tidak dapat dibuktikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan Notis Penarikan Balik Rayuan yang dikemukakan pendakwa raya di Mahkamah Rayuan pada 9 Disember lalu, menyatakan mereka tidak berhasrat meneruskan rayuan itu.
Meskipun begitu, AGC menegaskan keputusan tidak akan menjejaskan prosiding lain dengan kes rasuah projek solar hibrid melibatkan tertuduh tetap diteruskan dan kini berada di peringkat Mahkamah Rayuan.
Baca artikel lain: Cubaan Proton Wira memotong gagal punca bertembung trak tentera – Polis
Tertuduh telah disabitkan dan dijatuhi hukuman pada 1 September 2022 atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek tersebut dengan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.
“Pelaksanaan hukuman tersebut telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan.
“Jabatan ini menegaskan komitmen berterusan untuk menjalankan fungsi pendakwaan secara bebas, adil dan berintegriti.
“Keputusan yang dibuat sentiasa berlandaskan undang-undang serta bukti yang tersedia, demi memastikan keadilan ditegakkan dan kepentingan awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Pada 19 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy melepas dan membebaskan Rosmah, daripada pertuduhan terbabit, selepas membenarkan permohonan untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan itu tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan dikenakan.
Rosmah memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan terbabit pada September 2023 dan perbicaraan bermula pada 24 Ogos 2023, dengan dua saksi memberi keterangan di mahkamah.
Pada 4 Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Aras Bawah, 148 Jalan Ampang antara 4 Disember 2013 hingga 8 Jun 2017, dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim antara 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
Pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil haram terbabit atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan.
Pertuduhan berkaitan pengelakan cukai dibuat di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, yang mewajibkan beliau mengemukakan borang taksiran pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN selewat-lewatnya pada 30 April untuk 2014, 2015, 2016, 2017, dan 2018, tanpa alasan munasabah, melanggar Seksyen 112 akta terbabit.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

