Rosmah cedera di tangan dan lutut akibat terjatuh di rumah, rayuan singkirkan hakim ditangguh

Dari Penulis

RAYUAN Datin Seri Rosmah Mansor menyingkirkan hakim Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya dalam kes rasuah projek tenaga solar ditangguhkan selepas beliau bercuti sakit kerana terjatuh di rumah.

Peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan bahawa anak guamnya cedera kerana terjatuh, tetapi berjaya mengelakkan daripada terjatuh sepenuhnya.

“Berikutan itu, beliau mengalami kecederaan pada tangan dan kedua-dua lututnya.

“Beliau enggan dimasukkan ke wad walaupun telah dinasihatkan untuk berbuat demikian dan hanya ingin berehat di rumah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Jagjit mengesahkan bahawa Rosmah mengalami kecederaan pada kedua-dua lutut dan bahu kanan pada 23 Februari lalu ketika cuba menahan dirinya daripada terjatuh di rumah.

Katanya, sijil cuti sakit Rosmah bermula daripada 24 hingga 28 Februari ini. Mahkamah kemudian menetapkan pendengaran rayuan itu kepada 3 Mac ini.

Pada prosiding hari ini, Rosmah turut diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mangaiarkarasi Krishnan.

Panel turut menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan Nordin dan Che Ruzima daripada mendengar rayuannya itu dengan alasan kedua-dua hakim terbabit pernah mendengar satu lagi rayuan berkaitan penyingkiran Timbalan Pendakwa Raya, mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes rasuah sama.

Bagaimanapun berlaku sedikit ketegangan selepas panel mempersoalkan sama ada wujudnya risiko akan berlaku berat sebelah jika mereka terus mendengar rayuan terbabit.

Nordin: Anda peguam senior dan kita sudah lama saling mengenali. Adakah benar-benar wujud bahaya berat sebelah?

Jagjit: Maafkan saya, Yang Arif tetapi ini arahan daripada anak guam saya.

Nordin: Adakah anda menyatakan anak guam tidak selesa dengan kehadiran kami berdua dalam panel ini? Anda mesti menasihati anak guam, ini mahkamah undang-undang. Semua orang bertindak berdasarkan undang-undang.

Jagjit: sekali lagi saya memohon maaf atas permohonan ini.

Nordin kemudian membuat keputusan menolak permohonan Rosmah selepas mendapati tidak wujud risiko akan berlaku berat sebelah jika mereka terus mendengar rayuan berkenaan.

“Kami telah mendengar kedua-dua permohonan untuk mengetepikan dua ahli panel dan kami dapati tiada sebarang risiko berat sebelah sehingga memerlukan kami menarik diri.

“Kami mempunyai tanggungjawab untuk mendengar kes ini,” katanya.

Mahkamah Rayuan pada 17 September tahun lalu, menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) daripada mendengar kes rasuah projek solar selepas mendapati permohonan tidak mempunyai sebarang merit.

Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini memutuskan Rosmah bersalah terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan memerintahkan wanita itu dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Sebelum keputusan berkenaan diputuskan, Rosmah memfailkan permohonan menyingkirkan hakim itu dengan alasan beliau meragui integriti Mohamed Zaini ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Jaslinda ditemui selamat berhampiran Pos Musoh

MISTERI pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu akhirnya...

More Articles Like This