BARU-BARU ini, sebelum ini pun saya sudah lihat, ketika pulang ke kampung halaman di Melaka, banyak projek-projek perumahan dan premis komersial baharu dibangunkan. Ada juga yang berskala besar.
Kalau dahulunya ia kawasan kampung, dusun buah-buahan atau ladang ternakan dan pertanian, tiba-tiba berubah secara total.
Malah kawasan kampung berhampiran juga seolah-olah semakin tersepit dengan pembangunan demi pembangunan ini. Mungkin juga menunggu masa untuk ‘dirombak’ atau ‘digodak’ bagi memberi laluan kepada sebuah pusat komersial baharu.
Di kampung saya juga sudah jadi begitu. Dahulunya kawasan dusun atau ladang, ada tasik tempat seisi keluarga memancing dan menikmati suasana kampung, kini sebahagiannya sudah dikomersialkan menjadi pusat pelancongan, perumahan dan kem latihan bina semangat.
Di sebelahnya pula sudah diletakkan papan tanda, penjualan lot-lot banglo. Suasana kampung sudah tidak lagi seperti dulu. Selepas ini entah tanah mana lagi pula yang akan ‘dirodok’ untuk meluaskan proses komersial itu?
Jangan nanti tasik yang dahulunya dinikmati penduduk kampung, sudah terkepung dengan nilai-nilai komersial, mungkin dikenakan bayaran untuk masuk atau hanya pihak tertentu sahaja dibenarkan masuk kerana sudah menjadi ‘eksklusif’.
Saya bukan menolak pembangunan mahupun proses pemodenan tetapi bimbang lama-kelamaan kerakusan ini akan mengecilkan atau mungkin melenyapkan suasana kampung.
Jambatan Malaysia-Indonesia
Begitu juga kebimbangan saya terhadap rancangan untuk membina jambatan menghubungkan Malaysia dan Indonesia iaitu dari Pengkalan Balak di Masjid Tanah.
Ia bukan sekadar jambatan tetapi melingkari semuanya ini, berapa banyak tanah-tanah kampung, mungkin dusun atau ladang di Pengkalan Balak itu yang akan hilang demi pembangunan berkenaan.
Sudah tentu memerlukan ruang atau kawasan yang luas untuk pembinaan pusat pemeriksaan imigresen dan kuarantin (CIQ), mungkin pusat-pusat komersial, hotel atau rekreasi bagi menjadikan projek itu bernilai.
Jujurnya bagi saya, projek tersebut tidak perlu, tiada nilai ekonomi malah jika dibaca banyak ulasan, ia akan menimbulkan banyak implikasi global.
Cukup-cukuplah apa yang ada di Melaka ini. Ruang komersial yang sedia ada pun masih belum dipenuhi 100 peratus. Ada yang tidak bertahan lama pun, terpaksa tutup, terutama di kawasan bandar. Cuba pihak cerdik pandai pembangunan nilai sendiri.
Biarlah Melaka tenang dan penuh dengan nilai-nilai kampung yang tenang. Sama seperti Oman. Seperti diceritakan banyak orang, ia menolak untuk menjadi seperti Qatar mahupun Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang penuh dengan bangunan pencakar langit.
Bagi saya, adalah lebih baik Melaka ini gunakan apa jua peruntukan yang ada untuk perbaiki kualiti jalan raya dan pemugaran pusat-pusat pelancongan. Di MITC sendiri kalau ditinjau, masih banyak yang perlu ditingkatkan kembali imejnya.
Sama jugalah dengan negeri-negeri lain. Usahlah terlalu mengejar pembangunan sehingga ‘menafikan’ hak untuk kawasan-kawasan kampung dikekalkan dengan imejnya yang tersendiri.
Sekali lagi, bukan hendak menolak pembangunan tetapi pada akhirnya, kawasan kampung juga menjadi pilihan anak kota melepaskan lelahnya di celah-celah hening suasana kampung.
Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV

