“JIKA mahu berkawan, berkawanlah dengan adab dan keikhlasan, bukan dengan ejekan kosong yang akhirnya menyebabkan diri yang begitu angkuh tenggelam dalam kesombongannya sendiri.”
Demikian kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin, didakwa mengeluarkan kenyataan keterlaluan mengenai nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Wan Rosdy turut menyifatkan kenyataan Bee Yin itu bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan keangkuhan politik.
Pada masa sama, beliau yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan tindakan itu menunjukkan ketandusan adab dan sensitiviti yang menyentuh perasaan banyak pihak terutama ahli keluarga Najib serta ahli-ahli UMNO.
“UMNO Pahang mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadab Bee Yin yang secara terbuka meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan isu Titah Adendum Najib.
“Keputusan mahkamah tidak seharusnya dijadikan pentas sorakan politik murahan.
“Meraikan keputusan tersebut dengan ejekan dan sindiran merupakan satu perbuatan yang hanya menampakkan ketidakmatangan dan kekeringan nilai seorang wakil rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy turut menyifatkan UMNO Pahang akan terus berdiri teguh, tidak goyah dan tidak sesekali berundur dalam memberikan sokongan serta meneruskan usaha mencari keadilan buat Najib.
Baca artikel lain: Isu Titah Adendum Najib: PM seru tangani dengan bijaksana, tak wajar keruhkan suasana
Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib untuk melaksanakan Titah Adendum supaya menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Beliau juga memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib memohon satu perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah itu dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk meneruskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk tahanan rumah bermula pada 2024, susulan permohonan semakan kehakiman yang difailkannya.
Ia dibuat selepas Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International kepada enam tahun serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Dalam permohonannya, Najib mendakwa wujud satu titah tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, selain titah diraja utama yang mengurangkan hukumannya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

