TEKAD Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk melaksanakan Reformasi Kesihatan MADANI berjaya dibuktikan menerusi 50 inisiatif Menteri Kesihatan dalam tempoh 24 bulan.
Dr Dzulkefly menerusi Laporan Dua Tahun Reformasi Kesihatan MADANI berkata, membaiki struktur kesihatan negara bukan sekadar urusan pentadbiran biasa tetapi perjuangan membetulkan natijah legasi lampau agar sistem yang telah lama berjasa tidak terus terbeban oleh perubahan zaman.
Katanya, beliau juga menerima dengan hati terbuka setiap kritikan, termasuk naratif skeptis yang melabel sistem sedia ada sebagai a-sinking-ship atau terperangkap dalam acuan abad lalu.
“Meskipun teguran itu kadangkala pedih, ia adalah wake-up call yang penting. Namun, perlu ditegaskan bahawa sistem kita masih mempamerkan daya tahan yang luar biasa; di saat sistem gergasi seperti NHS di UK bergelut dengan risiko kelumpuhan, fasiliti awam kita kekal menjadi benteng terakhir tempat rakyat berteduh.
“Aspirasi saya jelas iaitu kita sedang membina ekosistem yang future-ready, future-focused, dan future-proof. Melalui pendekatan Lima Kluster Strategik, kita mengalihkan graviti sistem daripada sick-care kepada healthcare.
“Ini melibatkan pengukuhan penjagaan primer bagi mengurangkan kesesakan di hospital sekunder dan tertiari, selain memastikan kebajikan para petugas kesihatan sebagai nadi utama sistem ini terbela melalui persekitaran kerja yang lebih adil dan mampan,” katanya.
Baca artikel lain: Gaji tinggi punca golongan profesional perubatan berhijrah ke luar negara – Menteri Kesihatan
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, transformasi itu turut diperkukuh melalui pendigitalan menyeluruh bagi menyatukan sistem yang selama ini terpisah.
Katanya, negara ketika ini sedang meletakkan asas pembiayaan yang lebih mampan dan beralih secara agresif kepada paradigma pencegahan serta promosi kesihatan awam.
Katanya, Kementerian Kesihatan mahu rakyat bukan sahaja dirawat apabila sakit, tetapi diperkasakan untuk kekal sihat melalui intervensi awal yang strategik.
Lima Kluster Utama 2023-2025 pastikan sistem kesihatan negara kekal relevan

Untuk rekod, reformasi sistem kesihatan dilaksanakan dalam persekitaran yang mencabar di mana kementerian perlu mengimbangi sumber terhad dengan beban penyakit yang semakin kompleks dan jangkaan rakyat yang tinggi.
Kementerian Kesihatan menyedari bahawa isu-isu legasi yang diwarisi tidak boleh diselesaikan dengan pendekatan biasa, sebaliknya menuntut keberanian untuk melakukan pembetulan struktur terhadap punca sebenar tekanan sistem kesihatan.
Pendekatan Lima Kluster Utama bagi tempoh 2023-2025 bukanlah dipilih secara rawak, tetapi merupakan respons strategik untuk memastikan sistem kesihatan negara kekal relevan.
Walaupun tidak semua cabaran dapat diselesaikan sekelip mata, langkah-langkah asas yang diambil hari ini adalah penentu kepada daya tahan sistem kesihatan awam negara untuk dekad yang mendatang.
Misi 2026: Hala tuju ke hadapan
Kurang seminggu menjelang tahun baharu, Kementerian Kesihatan telahpun menetapkan hala tuju ke hadapan yakni Misi 2026 merangkumi beberapa segmen seperti sumber manusia; infrastruktur dan fasaliti serta sistem dan perancangan strategik.
Dalam segmen sumber manusia, Kementerian Kesihatan mengakui bahawa cabaran sumber manusia tidak boleh lagi diuruskan secara manual atau one-size-fits-all.
Kadar ketirisan bakat dan isu agihan tugas memerlukan penyelesaian yang disokong oleh data yang tepat dan nyata.
Menjelang 2026, KKM akan mengoperasikan dashboard berpusat yang memberikar gambaran menyeluruh dan terperinci mengenai ‘kesihatan’ tenaga kerja kita.
Dalam segmen infrastruktur dan fasaliti, fokus terarah kepada mengurai kesesakan dan mengoptimumkan aset.
Melalui integrasi data fasiliti ke dalam dashboard nasional, Kementerian Kesihatan akan memantau status ‘kesihatan fizikal dan kapasiti setiap klinik serta hospital secara real-time.
Langkah itu membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan, naik tarat, dan pengurusan dan perolehan aset dirancang secara proaktif bagi memastikan persekitaran yang kondusif untuk pesakit dan petugas.
Kementerian Kesihatan juga akan menggunakan data raya untuk melaksanakan Projek Nyah-Sesak yang lebih agresif-memindahkan pesakit stabil ke hospital daerah atau membeli perkhidmatan swasta di lokasi yang tepat.
Pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan masa menunggu, malah mengurangkan kepadatan pengunjung di hospital utama sekaligus meningkatkan keselesaan dan pengalaman pesakit secara keseluruhan.
Bagi segmen sistem dan perancangan strategik, KKM memerlukan satu ‘otak’ pusat yang menghubungkan semua inisiatif untuk menyelesaikan masalah legasi dan merancang masa depan.
Inisiatif itu dapat direalisasikan melalui pemantauan kemajuan pendigitalan dan perancangan yang mana papan pemuka bersepadu itu juga
akan berfungsi sebagai ‘Menara Kawalan’ untuk memantau status pelaksanaan EMR dan pendigitalan di setiap fasiliti.
Langkah ini bagi memastikan tiada lokasi yang ketinggalan dalam transformasi digital walaupun berdepan dengan cabaran integrasi sistem yang pelbagai.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

