ANGGOTA polis berpangkat konstabel yang disyaki menampar seorang penunggang motosikal di sebuah stesen minyak dekat Taman Perling, Johor Bahru, kelmarin dipanggil bertugas untuk membantu operasi walaupun sedang bercuti pada hari kejadian.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad memaklumkan, anggota berusia 20-an itu dipanggil bertugas kerana kekangan keperluan keanggotaan.
Berdasarkan rekod, Ab Rahaman berkata, konstabel itu dipanggil bertugas bagi membantu satu operasi trafik, Ops Motosikal yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.
“Operasi itu bertujuan untuk membanteras aktiviti merempit di kawasan tersebut.
“Anggota berkenaan adalah salah seorang yang terlibat dalam membantu tugas-tugas operasi tersebut.
“Semasa kejadian itu, dia cuba untuk menahan motosikal ditunggang mangsa yang dipercayai cuba melarikan diri, mungkin tindakan spontan berlaku pada masa itu berlaku insiden menampar itu,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rahaman memberitahu, laporan polis pertama dibuat pihak polis selepas tular video memaparkan kejadian tampar itu di media sosial, sebelum laporan polis diterima daripada mangsa sendiri pada malam hari kejadian.
Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan siasatan masih berjalan.
“Kita akan melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kes ini kepada Bahagian Perundangan Bukit Aman sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
Baca artikel lain: Individu tampar lelaki di stesen minyak disahkan anggota polis sedang bercuti
“Seramai empat individu telah dirakam keterangan setakat ini termasuk saksi dan anggota polis yang terlibat dalam insiden ini.
“Beberapa lagi saksi akan dipanggil untuk merakam keterangan dan pada masa sama kita juga sedang mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya.
Ditanya sama ada anggota polis terbabit digantung tugas, Ab Rahaman berkata, lelaki itu masih bekerja, namun tidak dibenarkan melakukan tugas operasi.
“Dia tidak digantung tugas dan tidak ditahan reman. Setakat ini, anggota terbabit menjalankan tugas seperti biasa, kita tidak boleh menahan tugasnya kerana kita belum dapat arahan untuk mendakwanya di mahkamah.
“Kita ada proses dan peraturan untuk menahan tugas seseorang polis, biasanya apabila ada keterangan terbukti untuk pendakwaan di mahkamah.
“Bagaimanapun, anggota polis yang mula bertugas dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2022 itu tidak menjalankan tugas operasi sehingga siasatan ini selesai,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

