“MASALAHNYA sesetengah orang itu, dia pilih untuk hanya menimbulkan kenyataan seolah-olah semua tidur dan semua korup (rasuah), ini saya fikir kurang wajar.”
Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan semua pihak harus menerima hakikat bahawa terdapat perubahan positif dalam soal pembanterasan rasuah.
Walaupun mengakui masih terdapat gejala sedemikian, namun Perdana Menteri menegaskan kerajaan MADANI sentiasa bersungguh-sungguh menangani isu rasuah.
Malah, kata beliau, tindakan pembetulan itu sedang giat dijalankan.
“Selain daripada Saifuddin (Datuk Seri Saifuddin Nasution), saya sendiri berulang kali minta tindakan diambil tapi tak semudah yang dibicarakan, (pembanterasan) mengambil waktu, kebijaksanaan, ketangkasan dan disiplin.
“Tetapi sebaik sahaja ada kejayaan seperti mana yang saya umumkan di Parlimen, (negara berjaya) elak ketirisan baik di sempadan atau di lapangan terbang atau di pelabuhan, kita dah kumpul untuk keseluruhannya dua tahun ini sebanyak RM15.5 bilion.
“Tentulah saya sebagai manusia, harus tabik juga kepada rakan-rakan termasuk di Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan-badan penguatkuasaan lain.
“Jangan kita nafikan itu dan menyatakan masalah-masalah masih ada. (Memang) ada tetapi bayangkan puluhan tahun, ketirisannya itu kalau kita kumpul RM10 bilion dalam dua tahun, maknanya dah ratusan bilion tapi di bawah jentera yang ada sekarang, kita harus terima kenyataan perubahan itu ada,” katanya.
Baca artikel lain: ‘Kita ini negara hukum’, PM tegaskan kegiatan agama, bina rumah ibadat mesti ikut peraturan
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, siasatan dan tindakan terhadap aduan membabitkan penjawat awam termasuk dakwaan rasuah perlu dijalankan dengan teliti dan tidak tergopoh-gapah.
Anwar berkata, siasatan yang dijalankan juga tidak boleh didorongi sentimen politik dan persepsi, sebaliknya harus mengikut peraturan undang-undang.
“Bagi saya, saya tak fikir saudara akan bekerja kalau seorang Perdana Menteri itu terus hukum, belum siasat (sudah) hukum dulu.
“Saya tidak pilih jalur itu. Siasat (dahulu), kalau perlu tindakan, kita ambil tindakan. Kalau perlu hukuman, kita ikut proses hukuman.
“Jangan kita gopoh kerana kebetulan orang itu kita tak senangi atau bukan daripada kelompok kita atau kita berdendam kerana orang itu telah mengambil tindakan kepada kelompok-kelompok yang dikaitkan dengan kita.
“Apa pun kena ikut peraturan, kita negara hukum, mesti ikut undang-undang,” tegas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

