POLIS sedang giat memburu sekumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti curi kabel di sekitar kawasan Seksyen 3, Shah Alam.
Ia susulan rakaman video berdurasi 14 saat memaparkan kejadian itu yang tular di media sosial.
Rakaman itu menunjukkan beberapa lelaki menggunakan beberapa kenderaan termasuk pacuan empat roda untuk mencuri kabel pada waktu malam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol memaklumkan, kejadian berlaku pada pukul 5 pagi, Jumaat lalu itu disedari oleh seorang saksi yang terdengar bunyi bising di luar rumah ketika sedang tidur.
Menurut beliau, saksi berusia 30-an itu telah bangun dan melihat sekumpulan lelaki tidak dikenali sedang memotong kabel.
“Saksi itu cuba mengekori suspek namun telah diberi amaran. Suspek juga dikatakan telah berpatah balik dan cuba mengejar saksi sebelum melarikan diri.
“Saksi itu kemudiannya telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: 12 anggota polis ditahan bagi bantu siasatan kes samun kripto di Kajang
Mengulas lanjut, Ramsay berkata, pihaknya percaya kumpulan itu aktif dan mahir dalam kegiatan curi kabel bagi mendapatkan besi tembaga.
Kata beliau, ia berdasarkan cara mereka melakukan kegiatan dengan mengorek lubang kabel dan menariknya keluar sebelum memotongnya di tempat sunyi.
“Nilai kerugian masih dalam siasatan dengan usaha mengesan dan menangkap suspek terlibat sedang giat dijalankan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau turut meminta mana-mana pihak mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 0111-6652402 bagi membantu siasatan.
“Polis menggesa orang awam sekiranya menemui individu mencurigakan atau sebarang aktiviti mencuri kabel agar segera menghubungi talian kecemasan 999,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

