LAPORAN siasatan berhubung isu pemilikan saham Tan Sri Azam Baki dijangka diserahkan kepada Kabinet pada minggu hadapan.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Daruk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Khas Siasatan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar kini hampir selesai melaksanakan siasatan berhubung perkara tersebut.
“Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Khas Siasatan yang diketuai Peguam Negara hampir selesai proses siasatan dan akan menyerahkan laporan pada minggu hadapan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Jemaah Menteri hari ini membincangkan secara mendalam isu-isu dakwaan pemilikan saham Azam serta dakwaan penyalahgunaan institusi SPRM bagi tujuan manfaat korporat.
“Berhubung isu dakwaan salah guna institusi SPRM bagi tujuan manfaat korporat, laporan polis telah dibuat dan Polis Diraja Malaysia sedang menjalankan siasatan pada kadar segera.
“Ia untuk mengenal pasti mana-mana pihak yang melanggar undang-undang untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Fahmi berkata, Jemaah Menteri bersetuju bahawa isu-isu berbangkit mengenai SPRM adalah amat serius selain mengambil maklum cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Justeru, Jemaah Menteri akan meneliti laporan jawatankuasa siasatan dan mempertimbang tindakan-tindakan susulan termasuk keperluan pelaksanaan siasatan oleh RCI,” katanya.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Azam bagaimanapun pada sidang media baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

