POLIS menafikan dakwaan kononnya beberapa anggota polis telah menerima rasuah seperti yang dibayangkan dalam rakaman video tular di aplikasi TikTok sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud memberitahu, pihaknya telah mengesan satu rakaman video yang dimuat naik pemilik akaun TikTok bernama Kk (@mabsjmx21) yang mendakwa anggota polis menerima wang daripada pemandu di tepi jalan raya.
Mohd Rosdi berkata, hasil semakan mendapati kejadian itu telah berlaku kira-kira pukul 11.20 pagi, semalam.
Menurut beliau, kejadian di persimpangan masuk dan keluar Jalan Persiaran Jalil Utama, Bukit Jalil itu berlaku ketika empat pegawai polis sedang menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah.
Katanya, pegawai polis itu telah mengambil tindakan saman ke atas kenderaan yang menghalang lalu lintas.
“Semasa kejadian, pihak polis telah menasihatkan kepada pemilik kenderaan untuk mengalihkan kenderaan dan mendaftar aplikasi Volunteer Smart Phone Patrol (VSP) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pegawai polis itu juga telah mengambil butiran pemilik kenderaan untuk tujuan rekod.
“Polis telah mengeluarkan dua keping saman PDRM ke atas pemandu dan kenderaan lain kerana menghalang lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Rosdi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia boleh menimbulkan salah faham terhadap penugasan polis di lapangan.
“PDRM komited memelihara integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kepolisan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rosdi meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lengkap dan sahih berkaitan perkara ini untuk tampil membantu siasatan.
Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050 / 5051 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

